Tengku Mahmud Zuhdi - Syeikhul Islam Selangor  

Posted by mfrstudio

Ulama Nusantara
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
NAMA lengkapnya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman bin Tuanku Nur bin Raja Belat ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Ayahnya adalah Raja Jambu, Patani yang ditangkap oleh Siam dan ditempatkan di istana tersendiri di Ban Sim Dip, Bangkok. Ibunya bernama Kalsum binti Haji Sa'ad, berasal dari India.

Tengku Mahmud lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masihi. Beliau meninggal dunia di Mekah pada tanggal 6 Rabiulawal 1376 Hijrah/10 Oktober 1956 Masihi.

PENDIDIKAN
Walaupun berada di dalam keadaan sangat darurat di dalam tahanan, namun ayahnya sempat mengajar Tengku Mahmud ilmu-ilmu asas Islam tradisi Patani dan pengetahuan adab raja-raja Melayu. Tengku Mahmud juga sempat belajar kepada Syeikh Abdul Latif bin Mustafa al-Fathani di Thait (pinggiran Bangkok). Ketika berusia antara 8 - 9 tahun (1302 Hijrah/1885 Masihi), dalam keadaan sukar, Tengku Mahmud berhasil dikirim ke Mekah. Di Mekah, diserahkan sekalian urusannya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mendidiknya sendiri dan memasukkannya ke Maktab Saulatiyah, yang diasaskan oleh orang India. Dengan demikian Tengku Mahmud memperoleh dua sistem pendidikan, iaitu sistem tradisional pondok dan sistem persekolahan.

Beliau adalah murid yang paling cemerlang di sekolah itu. Oleh kerana itu beliau diminta mengajar di sekolah tersebut pada tahun 1895. Syeikh Ahmad al-Fathani mendesak Tengku Mahmud supaya melanjutkan pelajarannya ke Mesir bersama Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, Syeikh Tahir Jalaluddin Minangkabau dan lain-lain pada tahun 1900.

Di Mesir beliau hanya memperdalam pelbagai ilmu yang telah dipelajarinya di Mekah, terutama ilmu falakiyah dan ilmu khat. Pada tahun 1905, Tengku Mahmud lulus peperiksaan Hasyimiyah (Syarif Husein) dengan memperoleh Syahadah al-Kubra dan memperoleh kebenaran mengajar di Masjidil Haram, Mekah.

Sungguhpun Tengku Mahmud telah mengajar di Maktab Saulatiyah dan Masjidil Haram, namun beliau sentiasa memperdalam ilmu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani terutama ilmu sastera Arab. Beliau juga menerima bai`ah Thariqat Syathariyah dan Thariqat Syaziliyah daripada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Selain pendidikan yang telah disebutkan, agak kebelakangan Tengku Mahmud juga belajar kepada Syeikh Mukhtar `Atharid Bogor.

KERABAT DIRAJA SELANGOR
Tengku Mahmud berhijrah dari Mekah ke Jambi, Sumatera. Beliau sampai di Jambi pada hari Khamis, 6 Rabiulawal 1344 Hijrah/23 Oktober 1925 Masihi. Di sana beliau mendirikan sekolah Arab di sebuah tempat yang bernama Tahtul Yaman. Apabila Sultan Sulaiman Syah mendengar ulama tersebut berada di Jambi, baginda sendiri datang ke Jambi mengajak Tengku Mahmud supaya pindah ke Selangor.

Tengku Mahmud berangkat ke Klang pada tahun 1929. Pada mulanya beliau dilantik sebagai Penasihat Agama Selangor, selanjutnya menjadi Syeikhul Islam Setia Diraja Selangor. Di Selangor Tengku Mahmud berkahwin dengan Tengku Hajah Safiah, puteri Sultan Abu Samah bersama isterinya Tengku Kubis. Tengku Mahmud berkahwin beberapa kali, isterinya di Kelantan bernama Tengku Maryam. Di Kedah beliau berkahwin dua kali dan di Patani sekali.

Anak perempuannya yang bernama Tengku Aminah (tidak jelas daripada isterinya yang mana) berkahwin dengan Tengku Badli Syah (Tengku Laksamana Selangor) ibni Sultan Hisyamuddin Alam Syah.

MURID-MURIDNYA
Di kalangan kerabat Diraja Selangor termasuk Sultan Sulaiman (mangkat 1937), putera baginda Tengku Haji Ibrahim Syah (Tengku Sri Wangsa) adalah murid Tengku Mahmud Zuhdi.

Selain itu, Tengku Mahmud telah mencetuskan idea sehingga berdirinya madrasah di Klang yang bernama Marta' al-Ulum ad-Diniyah (1933 sampai tahun 1945). Pada tahun 1945, madrasah ini terpaksa ditutup kerana perang dunia ke-II. Setelah peperangan selesai madrasah tersebut dibuka kembali dengan mudirnya Hj. Abdul Ghani bin Hj. Othman. Selanjutnya ia dipimpin oleh Sayid Abdul Aziz asy-Syami al-Masri dan nama madrasah tersebut diganti dengan Darul Ulumid Diniyah. Kemudian setelah pimpinannya beralih kepada Sayid Mahmud `Arif Bukhari, madrasah tersebut kembali kepada nama asalnya, iaitu Marta' al-Ulum ad-Diniyah.

Seorang ulama besar berbangsa Arab dan berasal dari Mekah yang pernah belajar kepada Tengku Mahmud sewaktu di Klang, ialah Sayid Mahmud `Arif al-Bukhari. Ramai para pentadbir Islam di dalam Selangor yang menjadi murid kepada Tengku Mahmud, di antara mereka ialah Ustaz Ahmad Dahlan bin Abdul Mannan, bekas Pembantu Pelajaran Agama di Jabatan Agama Islam Selangor, Ustaz Hj. Abdul Jalil Safwan bin Hj. Abdul Rahman, bekas Yang Dipertua Persatuan Guru-Guru Islam Selangor (PEGUAM) dan ramai lagi.

Murid Tengku Mahmud Zuhdi yang mempunyai hubungan dengan golongan korporat pula, seperti Haji Abdullah bin Faqih, ayah kepada Dato' Hj. Shahrani, D.P.M.S, J.P, F.C.I.T, Group Excutive Chairman, Shapadu Corporation Sdn. Bhd. Dato' Hj. Shahrani Hj. Abdullah adalah salah seorang usahawan yang berjaya, berasal dari Selangor dan beliau berminat terhadap khazanah dunia Melayu.

KARYA-KARYANYA
Tengku Mahmud dapat dikategorikan sebagai ulama dunia Melayu yang mampu mengarang dalam dwi bahasa; bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antara karangannya yang telah ditemui disenaraikan sebagai berikut:

1. Al-Faridatus Saniyah wal Khuthbatul Bahiyah, diselesaikan pada hari Isnin, akhir Muharam 1321 Hijrah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah 1331 Hijrah. Kata pujian oleh Syeikh Abdullah Daud al-Fathani dan saudaranya Syeikh Muhammad Nur Daudi al-Fathani. Kandungannya mengenai khutbah Jumaat. Pada halaman akhir terdapat puisi Syeikh Abdullah Daud Fathani dan puisi pe-ngarangnya. Kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

2. Janiyatus Tsamarat fi Ta'rifi Ba'dhil Kalimat, diselesaikan di Mekah, Subuh Jumaat, awal Rabiulawal 1325 Hijrah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah 1325 Hijrah. Kandungannya membicarakan nahu dalam bahasa Arab dan merupakan syarah Matan al-Ajrumiyah. Pada cetakan ini terdapat juga tentang ilmu isti'arah karya gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

3. Syarh Tadrijish Shibyan ila Tasywiqil Bayan, diselesaikan di Mekah, 1330 Hijrah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1332 Hijrah. Pada bahagian tepi dicetak juga matan ilmu tersebut yang disusun oleh gurunya, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kata pujian oleh Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi (Mufti Mekah al-Mukarramah). Kandungannya membicarakan ilmu isti'arah (bahagian ilmu bayan), ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan syarah karya gurunya, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

4. Tsimarul Khuthab al-Mahbarah al-Minbariyah, diselesaikan Muharam 1335 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-Arabiyah. Kandungannya merupakan kumpulan khutbah dan terdapat berbagai-bagai amalan.

5. Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar, diselesaikan pada hari Jumaat, 7 likur Muharam 1339 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah Dar at-Thiba'ah al-Islamiyah, Patani. Kata pujian oleh Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid Bogor, Syeikh Abdul Qadir bin Shabir Mandailing, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Abdul Qadir al-Fathani, Syeikh Yahya Legih ar-Ramani al-Fathani, Syeikh Ismail/Pak De `El bin Abdul Qadir al-Fathani, Syeikh Muhammad Nashir al-Fathani, bertarikh 16 Zulkaedah 1339 Hijrah dan Syeikh Abdul Haq, tahun 1341 Hijrah. Pentashihnya adalah Syeikh Abdullah bin Ibrahim Langgar al-Qad-hi. Kandungannya menolak beberapa pemikiran Kaum Muda terutama karangan Mufti Haji Wan Musa Kelantan.

6. Pemudahan Yang Disayang, diselesaikan pada hari Jumaat, 7 Muharam 1343 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah /1927 Masihi. Kandungannya mengenai melakukan fidiyah menurut Mazhab Hanafi yang boleh dipakai dalam Mazhab Syafie.

7. Pegangan Yang Terutama Pada Sedikit Daripada Pangkal Ugama, diselesaikan pada 10 Syaaban 1352 Hijrah. Dicetak pada hari Rabu, 2 Safar 1353 Hijrah/16 Mei 1934 Masihi, tanpa disebut tempat mencetaknya. Kandungannya membicarakan akidah.

8. Tamhidul Manahij al-Adabiyah fi I'rabi Mabanil Ajrumiyah, diselesaikan pada hari Isnin, 10 Zulkaedah 1352 Hijrah. Jilid 1 dan 2 dicetak oleh The New Klang Press, Klang, pada hari Isnin, 11 Rejab 1352 Hijrah/30 Oktober 1933 Masihi. Jilid 4, dicetak oleh Persama Press, Penang. Kandungannya mengenai ilmu nahu dan merupakan huraian Matan Ajrumiyah.

9. Dua Khutbah Bagi Dua Hari Raya Fitrah Dan Adha, tidak terdapat tahun selesai penulisan. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Ishlah, Jeddah. Dicetak atas perbelanjaan pengarang sendiri. Kandungannya mengenai khutbah, doa khatam al-Quran untuk khanduri/kenduri, talqin mayat dan doa Nisfu Syaaban.

KETURUNAN
Anak Tengku Mahmud yang meninggalkan keturunan ada empat orang; Haji Muhammad, keturunannya di Jambi, Sumatera, Haji Ahmad keturunannya di Jambu, Patani, Tengku Abdul Hamid dan Tengku Aminah, keturunan dua orang yang terakhir ini di Selangor.

Anak Tengku Mahmud yang menjadi ulama besar dua orang; Haji Muhammad, sangat terkenal di Jambi. Digelar oleh masyarakat sebagai `Ulama Jubah Hitam'. Yang menjadi ulama pula ialah Haji Ahmad, Imam Masjid Jambu, Patani dan guru mengajar pelbagai kitab. Semua anak Tengku Mahmud Zuhdi yang tersebut telah meninggal dunia.

This entry was posted on Sunday, November 12, 2006 at 12:25 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment