Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari - Ahli falak dunia Melayu  

Posted by mfrstudio

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


Biografi Syeikh Tahir Jalaluddin agak banyak ditulis orang. Walau bagaimanapun artikel ini merujuk sumber-sumber asli berupa catatan Syeikh Tahir Jalaluddin sendiri, surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani tahun 1323-1325 Hijrah dan lain-lain. Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Tahir bin Muhammad bin Jalaluddin Ahmad bin Abdullah al- Minankabawi al-Azhari. Ayahnya meninggal dunia di Cangking, Minangkabau pada hari Ahad 27 Jamadilawal 1288 Hijrah/14 0gos 1871 Masihi. Ibunya juga meninggal dunia di Cangking pada 1295 Hijrah/1878 Masihi.

Syeikh Tahir lahir di Cangking, Minangkabau pukul 4.45 pada hari Selasa, 4 Ramadan 1286 Hijrah/8 Disember 1869 Masihi. Meninggal dunia di Kuala Kangsar, Perak, sesudah sembahyang Subuh pada hari Jumaat, 22 Rabiulawal 1376 Hijrah/26 Oktober 1956 Masihi.

Sungguh pun Syeikh Tahir dalam catatannya menyebut tarikh lahirnya 4 Ramadan 1286 Hijrah/8 Disember 1869 Masihi tetapi dalam buku Ulama Silam Dalam Kenangan, halaman 20, dinyatakan bahawa beliau lahir pada 7 November 1869 Masihi. Tarikh yang diberikan ini adalah bertentangan dengan catatan Syeikh Tahir sendiri. Tarikh 7 November 1869 Masihi adalah bersamaan 2 Syaaban 1286 Hijrah, hari Sabtu, bukannya bersamaan 4 Ramadan 1286, hari Selasa.

PENDIDIKAN

Pada tahun 1296 Hijrah/1879 Masihi, dalam usia 10 tahun beliau ke Mekah bersama Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif. Sampai di Mekah beliau dipelihara oleh Syeikh Muhammad Saleh al-Kurdi. Beliau mengaji al-Quran kepada Syeikh Abdul Haq di Madrasah Asy-Syaikh Rahmatullah serta belajar kitab kepada Syeikh Umar Syatha, Syeikh Muhammad al-Khaiyath dan Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi.

Syeikh Ahmad al-Fathani juga termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Tahir Jalaluddin. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani pulang dari Mesir dan ke Mekah pada akhir tahun 1299 Hijrah/1881 Masihi atau awal 1300 Hijrah/ 1882 Masihi, beliau mempengaruhi pemuda-pemuda Melayu dan murid-murid beliau di Mekah mengenai kelebihan pendidikan di Masjid Al-Azhar, Mesir. Maka pemuda Melayu peringkat pertama yang dikirim oleh Syeikh Ahmad al-Fathani belajar di Mesir ada beberapa orang, antaranya termasuklah Syeikh Tahir Jalaluddin.

Sewaktu Syeikh Tahir berada di Mesir, terdapat banyak surat timbal-balik antara kedua-duanya. Syeikh Ahmad al-Fathani memberikan kepercayaan kepadanya dalam kepengurusan putera-putera DiRaja Riau yang beliau kirim ke Mesir, termasuk juga anak Syeikh Ahmad al-Fathani yang bernama Haji Ismail, Muhammad Zain bin Ahmad Kelantan dan lain-lain. Dalam suratnya Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut Syeikh Tahir Jalaluddin dengan panggilan ``waladuna'' ertinya ``anak kami'' atau maksudnya ``anaknda''. Sebaliknya Syeikh Tahir Jalaluddin menyebut Syeikh Ahmad al-Fathani dengan panggilan ``waliduna'' ertinya ``ayah kami'' atau maksudnya ``ayahnda''.

CATATAN PERKAHWINAN

Syeikh Tahir Jalaluddin berkahwin beberapa kali. Catatan beliau sendiri dinyatakan bahawa: kahwin di Mekah pada hari Sabtu, 26 Zulkaedah 1305 Hijrah/4 Ogos 1888 Masihi dengan Aisyah binti Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail al-Khalidi. Diakadkan oleh Sayid Bakri Syatha yang menerima wakil daripada Syeikh Ismail bin Syeikh Muhammad di hadapan Sayid Umar Syatha, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail, Syeikh Muhammad Saleh al-Kurdi, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Ismail bin Syeikh Muhammad, saudara Aisyah. Perkahwinan yang pertama ini adalah dengan cucu Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi, ulama besar yang terkenal dan penyebar Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah.

Kemudian Syeikh Tahir Jalaluddin berkahwin lagi dengan Kaltsum binti Haji Ibrahim, pada malam Jumaat, 9 Rejab 1310 Hijrah/27 Januari 1893 Masihi. Selanjutnya pada malam Jumaat 13 Ramadan 1310 Hijrah/31 Mac 1893 Masihi, berkahwin pula dengan Jamilah binti Haji Abdul Karim. Pada malam Khamis, 20 Jamadilawal 1317 Hijrah/23 September 1899 Masihi berkahwin dengan Aisyah binti Haji Mustafa bin Datuk Menteri Sati yang dihadiri oleh Syeikh Muhammad al-Khaiyath, Haji Hasyim Kelantan dan lain-lain. Selain yang tersebut masih ada lagi.

PENGEMBARAAN

Syeikh Tahir juga mencatat siri pengembaraan dan pengalamannya di beberapa kerajaan Nusantara, iaitu beliau pertama kali menginjakkan kakinya di Singapura pada 9 Ramadan 1305 Hijrah/20 Mei 1888 Masihi. Pada 15 Safar 1310 Hijrah/8 September 1892 Masihi pergi ke Riau, Pulau Penyengat. Di sana beliau berjumpa dengan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi. Raja Muhammad Tahir Hakim bin al-Marhum Mursyid, Hakim Riau, menyarankan supaya Syeikh Tahir tidak meneruskan perjalanan kerana cerdik pandai Riau bermaksud bermuzakarah kitab falak berjudul ``At-Thal'us Said'', maka beliau tinggal di Pulau Penyengat itu hingga bulan Rabiulakhir.

Dari Penyengat, Syeikh Tahir kembali ke Singapura. Kemudian dengan menumpang sebuah kapal layar beliau menuju ke Siantan, Kepulauan Anambas bersama Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi. Oleh sebab ketika itu kepulauan tersebut diserang wabak sakit biri-biri (sakit kebas), mereka terpaksa pulang ke Singapura pada bulan Syaaban 1316 Hijrah/Januari 1899 Masihi, dengan menumpang sebuah tongkang yang membawa kelapa kering (kopra).

Pada 5 Ramadan 1321 Hijrah/24 November 1903 Masihi, Syeikh Tahir ke Surabaya dan singgah di Bali, Boleleng dan Ampenan. Pada 9 Ramadan 1321 Hijrah/28 November 1903 Masihi, beliau sampai di Pulau Sumbawa. Pada 13 Ramadan 1321 Hijrah/2 Disember 1903 Masihi hari Rabu, Syeikh Tahir Jalaluddin berhenti di rumah Tuan Qadhi Haji Muhammad Saleh. Sultan Muhammad Jalaluddin ibni Sultan Muhammad Daimuddin, Sumbawa, mempelawa supaya beliau tinggal di Sumbawa. Pada 7 Zulhijjah 1321 Hijrah/23 Februari 1904 Masihi, Syeikh Tahir dari Sumbawa menuju ke Bima. Tiba di Bima pada 25 Februari beliau berhenti di rumah Imam Haji Thalib dan mengadap Sultan Ibrahim bin Sultan Abdullah bin Sultan Ismail bin Sultan Abdul Hamid.

Pada 16 Zulhijjah 1321 Hijrah/3 Mac 1904 Masihi, Syeikh Tahir Jalaluddin dari Bima menuju ke Makasar. Sampai di Makasar pada 16 Mac 1904 beliau berhenti di rumah Haji Ahmad Rifa'ie dan berkenalan dengan Haji Muhammad Saleh Palembang dan Raden Haji Abdul Ghani Palembang. Pada 17 Mac beliau ke Goa menemui Haji Daud Daeng Manabi' bin Yusuf. Kemudian menghadap Sultan Husein bin Sultan Idris bin Sultan Abdul Qadir bin Al-Amir Mahmud Goa.

PENULISAN

1. Irsyadul Khaidhi li `Ilmil Faraidhi, penggal yang pertama, diselesaikan pada hari Khamis, 12 Jamadilakhir 1348 Hijrah. Cetakan pertama, Mathba'ah Al-Ahmadiah 82 Jalan Sultan, Singapura, 10 Rejab 1348 Hijrah/11 Disember 1929 Masihi. Kandungannya membicarakan masalah membahagi pusaka. Penggal yang kedua, diselesaikan pada hari Jumaat, 9 Safar 1371 Hijrah. Cetakan pertama, oleh percetakan yang sama, 1371 Hijrah/1952 Masihi.

2. Huraian Yang Membakar, Taman Persuraian Haji, diselesaikan pada tahun 1349 Hijrah. Kandungannya merupakan polemik, membantah karangan Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar yang berjudul Taman Persuraian. Pokok perbicaraan ialah sembahyang sunat sebelum sembahyang Jumaat. Kitab di atas dibantah lagi oleh Haji Abu Bakar Muar dengan karangannya Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minkabawi, ditulis pada 10 Rabiulawal 1351 Hijrah/1932 Masihi.

3. Perisai Orang Beriman Pengisai Mazhab Orang Qadyan, diselesaikan pada 4 Rabiulawal 1349 Hijrah/30 Julai 1930 Masihi, di Singapura. Dicatatkan umur pengarang 62 tahun Qamariyah, 6 bulan genap. Atau 60 tahun Syamsiyah, 7 bulan, 23 hari. Kandungannya membantah ajaran Qadyani. Cetakan pertama oleh Setia Press, 32 Lorong 21 Geylang Singapura.

4. Ithaful Murid fi Ahkamit Tajwid, tanpa disebut tarikh selesai penulisan. Kandungan pelajaran tajwid al-Quran. Cetakan yang ketiga, Jelutong Press, Pulau Pinang, 1349 Hijrah/1931 Masihi. Cetakan yang keempat, Mathba'ah Persama, Pulau Pinang, 1352 Hijrah/1933 Masihi.

5. Ta'yidu Tazkirah Mutba'is Sunnah fir Raddi `alal Qa-ili bi Saniyati Raka'ataini Qablal Jum'ah, dalam bahasa Arab. Diselesaikan di Pulau Pinang pada 12 Syawal 1349 H. Kandungannya membahas perkara khilafiyah sembahyang sunat dua rakaat sebelum sembahyang Jumaat. Dicetak oleh The United Press, 55 Achen Street, Penang, 1372 Hijrah/1953 Masihi.

6. Natijatul `Umur, diselesaikan: 1355 Hijrah/1936 Masihi. Kandungannya mendapatkan perkiraan/perhitungan pada taqwim tarikh hijri dan miladi, arah Kiblat dan waktu-waktu sembahyang yang boleh digunakan selama hidup. Dicetak oleh Penang Printer Press, Pulau Pinang, 1355 Hijrah/ 1936 Masihi.

7. Jadawil Pati Kiraan Pada Menyatakan Waktu Yang Lima Dan Hala Qiblat Dengan Logharitma, diselesaikan 15 Syaaban 1356 Hijrah. Kandungan perhitungan falakiyah. Pada halaman 13 ada dicatat bahawa gurunya al-'Allamah Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Khaiyath, ulama al-Haramul Makki yang mengajar berbagai-bagai ilmu di Masjidil Haram khusus `ilmul hisab dan `ilmul falak. Kemudian ulama tersebut dilantik menjadi Syeikh al-Islam Kedah yang meninggal dunia di Batuban, Pulau Pinang, pada malam Rabu, 17 Rejab 1333 Hijrah. Cetakan yang pertama oleh Al-Ahmadiah Press Singapura, 1357 Hijrah/1938 Masihi. Dicetak dalam bentuk kombinasi Melayu/Jawi dan Latin/Rumi.

8. Nukhbatut Taqrirat fi Hisabil Auqat wa Sammatil Qiblat bil Lugharitmat, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Kandungannya membicarakan kaedah ilmu falak. Huraiannya ditulis dalam bahasa Arab sedang jadual yang menggunakan angka ditulis dalam angka Rumi/Latin. Cetakan yang pertama, Royal Press, 745 North Bird Road, Singapura, 1356 Hijrah/1937 Masihi.

9. Al-Qiblah fi Nushushi `Ulamais Syafi'iyah fi ma Yata'allaqu bi Istiqbalil Qiblatis Syar'iyah Manqulah min Ummuhat Kutubil Mazhab, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya membicarakan falak. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping 1951, atas kebenaran Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak, No. (18) dlm. Pk. Red. Dept 110/50, bertarikh 21 September 1950. Terdapat lapan nama ulama yang mengesahkan, ialah Haji Abdullah Pak Him, Mufti Pulau Pinang, Haji Ahmad bin Tuan Husein Kedah, Guru Besar Sekolah Arab Pokok Sena Seberang Perai, Haji Syihabuddin bin Abdus Shamad Sungai Dua, Haji Hamzah bin Haji Muhammad Ali Pak Jak Sung, Seberang Perai, Haji Muhammad Saleh al-Masri, Sekolah Arab Bukit Martajam, Haji Muhammad Sa'ad al-Masri, Sekolah Arab Bukit Martajam, Abdul Halim Utsman Mudir Al-Ma'had al-Mahmud Alor Setar dan Muhammad Nawawi bin Muhammad Tahir, Guru Agama Perak.

This entry was posted on Sunday, November 12, 2006 at 12:28 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment