Raja Umar Hasan - Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah pertama  

Posted by mfrstudio

Ulama Nusantara
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR
ABDULLAH
BIOGRAFI Raja Ali Haji cukup banyak ditulis orang, yang diriwayatkan ini adalah salah seorang cucu ulama, pujangga, sejarawan Melayu yang sangat terkenal itu. Nama lengkap beliau ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan bin Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad bin Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah bin Upu Daeng Celak. Beliau adalah orang pertama yang berusaha menerbitkan karya-karya datuknya, Raja Ali Haji itu. Salah sebuah karangan Raja Ali Haji yang penting berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa terbitan pertama oleh Mathba'ah Al- Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, juga atas usaha Raja Haji Umar.

Oleh sebab kekeluargaan ini termasuk penting dalam perkembangan kepelbagaian dunia Melayu sejagat, maka sebelum menceritakan riwayat ringkas Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji yang tersebut, dirasakan perlu terlebih dulu memperkenalkan adik beradik Raja Ali Haji dan putera/puteri beliau. Adik beradik Raja Ali Haji yang telah diketahui ada 16 orang, ialah 1. Raja Abdul Majid, 2. Raja Abdul Wadud, 3. Raja Haji Umar/Tengku Endut, 4. Raja Haji Ali, 5. Raja Abdullah (Amir Karimun), 6. Raja Utsman, 7. Raja Abdul Hamid, 8. Raja Muhammad Sa'id, 9. Raja Kecik, 10. Raja Shaliha, 11. Raja Fatimah, 12. Raja Aisyah, 13. Raja Shafiyah, 14. Raja Maimunah, 15. Raja Hawi, dan 16. Raja Maryam. Perkembangan keturunan nama-nama yang tersebut di atas belum dibicarakan di sini dan akan dibicarakan secara terperinci pada tempat dan waktu-waktu mendatang.

Putera/puteri Raja Ali Haji ada 17 orang, ialah: 1. Raja Haji Hasan (ayah kepada personaliti yang sedang diriwayatkan), 2. Raja Mala', 3. Raja Abdur Rahman, 4. Raja Abdul Majid, 5. Raja Salamah, 6. Raja Kaltsum, 7. Raja Ibrahim Kerumung, 8. Raja Hamidah, 9. Raja Engku Awan (ibu kepada Raja Kaluk), 10. Raja Khadijah, 11. Raja Mai, 12. Raja Cik, 13. Raja Muhammad Daeng Menambon, 14. Raja Aminah, 15. Raja Haji Salman Engku Bih, 16. Raja Siah, 17. Raja Engku Amdah. Perkembangan keturunan nama-nama yang tersebut di atas juga belum dibicarakan di sini, kecuali yang sedang diriwayatkan iaitu anak Raja Haji Hasan saja.

Selanjutnya adik beradik Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan bin Raja Ali Haji, ada 12 orang, mereka, ialah: 1. Raja Haji Abdullah Hakim 2. Raja Khalid Hitam, meninggal dunia di Jepun, 3. Raja Haji Abdul Muthallib, 4. Raja Mariyah, 5. Raja Manshur, 6. Raja Qamariyah, 7. Raja Haji Umar (yang sedang diriwayatkan), 8. Raja Haji Andi, 9. Raja Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah, 12. Raja `Amimah.

Raja Haji Umar yang dibicarakan dalam artikel ini adalah pada nombor 7 dalam senarai yang tersebut di atas. Raja Haji Umar dari sebelah ayahnya adalah cucu Raja Ali Haji, sedangkan dari sebelah ibunya adalah cucu Marhum Mursyid, iaitu Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-9. Raja Haji Hasan, ayahnya, adalah putera Raja Ali Haji. Ibunya pula ialah Raja Maimunah binti Marhum Mursyid. Raja Maimunah adalah adik beradik dengan Raja Haji Muhammad Tahir, Hakim Kerajaan Riau-Lingga yang telah diperkenalkan dalam Utusan Malaysia, Isnin yang baru lalu.

Riwayat pendidikannya ketika masih berada di Riau-Lingga, beliau mendapat pendidikan daripada golongan intelektual istana bersama adik beradiknya, di antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi hakim terakhir Kerajaan Riau-Lingga, Raja Khalid Hitam, pejuang Riau-Lingga, yang meninggal dunia di Jepun pada tahun 1912 M. Pelajarannya dilanjutkan ke Mekah. Sewaktu berada di Mekah sangat rapat hubungannya dengan dua orang anak Syeikh Ismail an-Naqsyabandi al-Khalidi Minangkabau, iaitu Syeikh Muhammad al-Minankabawi (wafat 1303 H) dan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi (wafat 1313 H). Oleh sebab pelajar-pelajar golongan Kerabat Diraja Riau-Lingga di Mekah, termasuk Raja Haji Umar, adalah dalam pengurusan keluarga Syeikh Ismail Minangkabau pada waktu itulah mereka berhubung erat dengan Syeikh Tahir Jalaluddin, kerana Syeikh Tahir Jalaluddin adalah menantu Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Minangkabau itu.

Raja Haji Umar tidak sempat belajar kepada Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Minangkabau, tetapi sempat belajar kepada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi. Walau bagaimana pun diriwayatkan Raja Haji Umar dan saudara-saudaranya selama berada di Mekah lebih banyak belajar kepada dua orang ulama yang berasal dari Patani,iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani mengirim Raja Haji Umar belajar ke Mesir.

Di antara sahabat Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan sewaktu belajar di Mekah ialah Haji Wan Ismail bin Syeikh Abdullah al-Fathani, iaitu anak saudara Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani. Kedua-dua ulama Riau dan Patani itu akhirnya berbiras, kerana kedua-dua isteri mereka adalah adik beradik. Kedua-duanya berjuang menyebarkan ilmu melalui Mathbaah Al-Ahmadiah Singapura.

Aktiviti dimulai dengan perlantikannya sebagai Mudir atau istilah lain digunakan juga Manager Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura yang pertama. Syarikat tersebut diasaskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau, syarikat induknya berpusat di Pulau Midai, Pulau Tujuh, Kepulauan Riau dengan nama Syarkah Al-Ahmadi & Co. Midai (1324 H/1906 M). Raja Haji Umar dilantik dalam syarikat itu adalah atas kehendak saudara sepupunya Raja Ali (Tengku Selat) bin Raja Muhammad Tengku Nong dan pengasas syarikat itu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar/Tengku Endut.

Sebelum melanjutkan aktiviti Raja Haji Umar yang lain, di sini perlu juga disentuh status kepimpinan Ahmadiah ketika itu ialah di pusatnya di Pulau Midai digunakan istilah Wakil Kuasa Ahmadi & Co. Midai ialah Raja Kaluk. Beliau juga cucu Raja Ali Haji, ibunya bernama Engku Awan adalah anak perempuan Raja Ali Haji.Dalam masa yang sama terdapat dua orang Wakil Kuasa, yang seorang lagi ialah Raja Hasnan. Setelah kedua-duanya meninggal dunia digunakan istilah Kuasa Al-Ahmadi & Co. Midai, dipegang oleh Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman. Untuk di Cawangan Singapura digunakan istilah Mudir atau Manager. Mudir atau Manager yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan. Untuk pengurusan di Mekah al-Mukarramah digunakan istilah Wakil Al-Ahmadiah di Mekah ditangani oleh Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (berasal dari Pulau Pinang). Raja Ali/Tengku Selat adalah Ketua Syarkah Al-Ahmadi & Co. Midai dan Mathba'ah Al- Ahmadiah Cawangan Singapura, merupakan pimpinan yang tertinggi daripada Keluarga Diraja Riau itu, dalam bidang usaha niaga mulai Pulau Tujuh hingga Singapura ketika itu.

Atas usaha Raja Haji Umar itulah maka karangan-karangan yang berasal daripada keluarga Diraja Riau-Lingga dikumpulkan dan diterbitkan oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah yang mendapat restu daripada Raja Ali (Tengku Selat) dan Raja Haji Ahmad. Daripada semua yang telah dipaparkan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan adalah seorang ulama yang mahir dalam penyusunan pentadbiran kewiraswastaan usaha niaga yang bercorak Islam. Sekali gus beliau seorang tokoh yang pandai menilai sesuatu penulisan, pemikiran, sejarah dan khazanah yang dipandang perlu diselamatkan.

Selain aktif mengumpul dan menyelamatkan khazanah pemikiran kekeluargaan Riau-Lingga, Raja Haji Umar juga melibatkan diri dalam penulisan, di antaranya Jurnal Keluarga Riau (tidak sempat diterbitkan) yang mengandungi di antaranya perjalanan kewafatan Raja Badariyah binti Raja Haji Muhammad Tahir saudara sepupunya. Karyanya yang lain ialah Ibu Di dalam Rumah Tangganya. Dalam Natijah Al-Ahmadiah terbitan 1341 H/1922-1923 M Raja Haji Umar telah memuat salinan ilmu falakiyah karangan sahabatnya Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin.

Raja Haji Umar meninggal dunia berdasarkan catatan Raja Ali (Tengku Selat) tertulis, ``Dan pada 27 Rabiulawal 1347 bertepatan 12 September 1928 siang Arba' (Rabu, pen) pukul dua, lewat lima belas minit, waktu itulah berlaku kudrat Allah Taala atas Raja Haji Umar bin al-Marhum Raja Haji Hasan Riau kembali ke rahmatullah. Dikuburkan berhampiran dengan kubur Marhumah Raja Badariyah, Perkuburan Qasim Keling, Batu Enam Sigelap ...''

Raja Haji Umar bin Raja Hasan meninggalkan lima orang anak, ialah: Raja Muhammad Saleh, Raja Muhammad Shafik, Raja Muhsin, Raja Salamah (semuanya daripada satu ibu). Daripada isterinya yang bernama Raja Hajah Malihah binti Raja Haji Muhammad memperoleh seorang anak, ialah Raja Abdul Aziz al-Mursyidi.

Raja Muhammad Saleh adalah anak beliau yang tua yang bekerja di Al-Ahmadiah Press sejak masa jayanya hingga ke masa menurunnya perusahaan itu. Penulis mempunyai hubungan dekat dengan keluarga ini, oleh itu pertama kali sampai di Singapura pada tahun 1967 penulis menginap di rumahnya, di Lorong Engku Kadir, Kaki Bukit, Singapura. Pada waktu itu Al-Ahmadiah Press masih berjalan dengan lancar. Raja Muhammad Shafik bin Raja Haji Umar pernah berkhidmat kepada Pustaka Nasional Singapura.

Darah pengarang Raja Ali Haji turun kepada cucunya Raja Haji Umar bin

Raja Haji Hasan dilanjutkan oleh Raja Abdul Aziz al-Mursyidi. Aziz al-Mursyidi mendapat pendidikan jurusan sastera Arab di Universiti al-Azhar. Artikel-artikelnya banyak dimuat dalam beberapa majalah terutama majalah Qalam. Sewaktu pertama sampai

di Kuala Lumpur (1970) penulis menginap di rumahnya, di Jalan Intan, Gombak, penulis menggunakan kesempatan menanyakan beberapa kalimat sastera Arab kepada beliau, bererti penulis sebagai murid beliau. Pada waktu itu beliau jugaselaku penterjemah daripada bahasa Arab ke Melayu dan sebaliknya di radio dan televisyen Malaysia. Pertemuan terakhir antara beliau dengan penulis tahun 1978, dalam keadaan sakit dan selanjutnya meninggal dunia di Singapura, tanpa meninggalkan keturunan.

Sebagai penutup, ``Kukhayalkan secebis kisah Aziz Mursyidi kelahiran Singapura, pernah tinggal di pulau kecil, terpencil, Pulau Midai. Menumpang tongkang berangkat ke Terengganu, ke Singapura terus ke Mekah dan Mesir mencari ilmu. Raja Ali Haji adalah moyangnya, dia adalah pewaris pujangga, dia dilupakan orang, namun padaku ada catatan.''

This entry was posted on Sunday, November 12, 2006 at 1:44 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment