Ja'afar Encik Abu Bakar Lingga - Gembala Khazanah Kerajaan Riau-Lingga  

Posted by mfrstudio

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


NAMA Haji Ja'afar hampir-hampir tidak disentuh oleh sebahagian besar sarjana penyelidik tentang ketokohan yang berasal dari Riau. Sebagai contoh Abu Hassan Sham dalam Puisi-Puisi Raja Ali Haji, hanya ringkas sekali, menyebut, ``Dia adalah pengarang Ringkasan Hukum Faraid. Tebalnya 60 halaman. Besar kemungkinan dia juga salah seorang anggota Rusydiah Kelab.'' Oleh itu penulis telah menyusuri riwayat ulama dan tokoh penting kerajaan Riau-Lingga tersebut mulai Pulau Penyengat hingga ke Pulau Singkep dan Pulau Lingga, akhirnya penulis memperoleh seberkas dokumen Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar Lingga yang tidak kalah pentingnya dengan ulama dan tokoh Nusantara lainnya.

Dalam dokumen yang ada sekurang-kurangnya ada tiga perkara untuk menempatkan ulama tersebut sebagai tokoh bijaksana Nusantara, iaitu pernah menjadi Sekretari Rusydiyah Kelab, pernah menjadi pentadbir dalam Gembala Khazanah Kerajaan Riau-Lingga, pernah berkhidmat sebagai pentadbir kepada sultan dan kerajaan Terengganu.

Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar mendapat pendidikan terakhir di Mekah, seangkatan dengan ulama-ulama Nusantara yang terkenal seperti Tok Kenali, Mufti Haji Abdullah Fahim, Kiyai Haji Hasyim Asy'ari, dan lain-lain. Walau pun Haji Ja'afar tidak termasuk keturunan Kerabat Diraja Riau-Lingga, namun kerana kecerdasannya beliau mendapat pendidikan khusus tentang pentadbiran dan siasah (politik) bersama-sama Kerabat Diraja Riau-Lingga di Istana Pulau Penyengat. Selanjutnya tugas-tugas penting kerajaan Riau-Lingga banyak diberikan kepercayaan oleh sultan mahu pun Yang Dipertuan Muda kepada beliau. Sampai artikel ini ditulis, penulis belum mengetahui ada tokoh lain yang bukan golongan kerabat diraja berperanan di Kerajaan Riau-Lingga seperti Haji Ja'afar.

ARKIB SURAT-SURAT

Penulis sangat berterima kasih kepada anak perempuan Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar dan menantunya Haji Abdul Ghani yang bermurah hati menyerahkan seberkas dokumen orang tuanya kepada penulis sewaktu penulis menjejaki Pulau Lingga. Menurutnya, kitab-kitab Haji Ja'afar yang sangat banyak semuanya telah musnah, yang dapat diselamatkannya hanyalah yang diserahkan kepada penulis. Lembaran dan jenis surat yang diserahkan kepada penulis pun cukup banyak, hanya segelintir saja yang dapat dibicarakan di bawah ini iaitu:

1. Surat Rusydiyah (Kelab), No. 23 yang ditandatangani oleh Tengku Abdul Qadir ibnu Almarhum as-Saiyid Syaikh al-Qudsi selaku Presiden Rusydiyah (Kelab), tarikh ``Termaktub di Rusydiyah (Kelab) pada 18 hari bulan Zulhijjah, hari Arba' sanah 1317 (Hijrah)''. Surat ini dengan jelas menyebut bahawa Tuan Haji Ja'afar bin Yarhamullah Encik Abu Bakar ``... dan kami angkat menjadi Sekretaris di Rusydiyah (Kelab) ...''

2. Surat Rusydiyah (Kelab), Angka 6 yang ditandatangani oleh Tengku Abdul Qadir ibnu Almarhum as-Saiyid Syaikh al-Qudsi selaku Presiden Rusydiyah (Kelab), tarikh ``Termaktub di Rusydiyah (Kelab) pada 7 hari bulan Rabiulakhir, hari Isnin sanah pada 1322 (Hijrah)''. Surat ini dengan jelas tertulis, ``Telah mengangkat akan Tuan Haji Ja'afar bin Yarhamullah Encik Abu Bakar menjabat pekerjaan menjadi Timbalan Rusydiyah (Kelab) kerana telah ittifaq timbangan lid-lid Rusydiyah (Kelab) mematutkan dia berpangkat demikian itu ...'' Daripada kedua-dua surat di atas jelaslah sebagai jawapan tulisan Abu Hassan Sham yang masih bersifat tertanya-tanya bahwa Haji Ja'afar ``besar kemungkinan dia juga salah seorang anggota Rusydiah Kelab''. Daripada kedua-dua surat itu sangat jelas peranannya, surat pertama melantiknya sebagai menjadi Sekretaris di Rusydiyah (Kelab) sedang surat yang kedua pula melantiknya sebagai menjadi Timbalan Rusydiyah (Kelab).

3. Surat Pengakuan D. Breedveldt Boer Controleur Tandjong Pinang, tarikh Tandjong Pinang, den 27 Jun 1902. Lengkap dengan cap. Surat terdiri daripada tulisan Melayu/Jawi dan di sebelahnya tulisan Latin/ Rumi. Kedua-keduanya menggunakan bahasa Melayu. Yang dengan Melayu/Jawi adalah tulisan tangan sedang dengan Latin/Rumi menggunakan mesin taip huruf condong. Di antara kandungannya bahawa Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar ketika bekerja di Khazanah Kerajaan Riau-Lingga adalah seorang yang boleh dipercayai dan pandai sekali memegang dan menjaga khazanah dan daftar-daftar tentang itu. Yang dimaksudkan dengan Khazanah Kerajaan Riau-Lingga ialah merupakan sebuah lembaga kewangan tertinggi Kerajaan Riau-Lingga, jabatan tersebut pernah diketuai oleh Haji Ja'afar. Untuk menentukan bahawa kewangan tidak disalahgunakan sekurang-kurangnya diadakan pemeriksaan kewangan yang juga dilakukan oleh pihak pembesar penjajah Belanda.

4. Surat Raja Khalid Hitam bin Raja Hasan al-Haj dan Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar Mengadap Raja Ali ibnu Almarhum Ahmadi, tarikh 27 Rejab 1320 H. Kandungannya bahawa mereka berdua bermohon keluar dari Penyengat selama satu bulan untuk pemeriksaan kebun-kebun milik Kerajaan Riau-Lingga demi untuk menambah penghasilan kerajaan. Sehubungan dengan surat ini ada sepucuk surat daripada Raja Khalid Hitam bin Raja Hasan al-Haj kepada Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar, tanpa tarikh. Kandungannya kemarahan Raja Khalid Hitam kepada Belanda. Ada tiga perkara yang dibicarakan dalam surat itu, pada angka 2 tertulis, ``Khabarkan dengan Pak Cik apa hal saya ini dibiarkan seorang saya mengadapkan pekerjaan watan ini ? Dan ia sudah senang-senang merantau di segenap negeri yang besar-besar diam sahaja, tiadakah hendak berikhtiar semacam saya ini padahal kita ini ramai''. Yang dimaksudkan dengan Raja Khalid Hitam iaitu seorang pejuang Riau-Lingga yang meninggal dunia di Jepun (1913) kerana minta bantuan untuk melawan penjajah kolonial Belanda. Daripada surat ini dapat dipastikan bahwa Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar adalah termasuk pejuang Riau-Lingga yang anti Belanda.

5. Surat Gembala Khazanah Kerajaan Riau-Lingga, Angka 1, tarikh Riau Penyengat pada 2 Safar 1322 dan 17 April tahun 1904, Surat Perintah Kepada Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar, kandungannya merupakan perintah kepada Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar pergi ke Sungai Setaman dengan menggunakan kapal kerajaan bernama ``Penyengat 2'' ada lima macam yang ditugaskan kepada Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar terutama ialah pemungutan hasil Kerajaan Riau-Lingga.

6. Surat Perintah Kepada Haji Ja'afar, tanggal Penyengat pada 19 Syaaban 1322, kandungannya merupakan perintah kepada Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar pergi ke Singkep dengan menggunakan kapal kerajaan bernama `Penyengat' untuk menjemput beberapa orang pemuka masyarakat kerana akan dilantik menjabat beberapa jabatan kerajaan.

7. Salinan Surat Sumpah Setia Pegawai-Pegawai Kerajaan Yang Berpangkat Lain Daripada Menteri Dan Amir-Amir Pada Masa As-Sulthan `Abdur Rahman Mu'azhzham Syah Kerajaan Lingga-Riau, surat asli ditulis malam Selasa, tarikh 7 Rabiulakhir tahun 1327 (Hijrah) bersamaan 26 April tahun 1909 (Masihi). Surat ini telah disalin oleh Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar sendiri. Surat asli ditandatangani oleh 18 orang, mereka ialah: Raja Haji Muhammad Sa'id ibnu Raja Muhammad Tahir, Engku Ambi Saiyid Idris, Tengku Hasan ibnu Tengku `Utsman (Embung), Engku Syaikh ibnu Saiyid `Utsman Qudsi, Tengku Haji Mahmud ibnu Tengku Nong Kelana, Raja Abu Bakar Selidik Jiwa, Raja Ahmad, Raja `Ali ibnu Raja Hasan, Raja Haji Ahmad ibnu Raja Haji Hasan, Raja Endut, Raja Muhammad Nukman, Haji Husein, Raja Haji `Umar ibnu Raja Haji Hasan, Raja Muhammad Sa'id, Haji Ja'afar ibnu Encik Abu Bakar, Tengku `Ishmatuhum, Raja Idris ibnu Raja Ja'afar dan Tengku Simbob ibnu Tengku `Abdul Qadir.

8. Ringkasan Hukum Faraid, yang disentuh ringkas oleh Abu Hassan Sham di atas. Kitab tersebut diselesaikan di Kampung Baru, Daik, Lingga pada 11 Safar 1334 H dibantu oleh sahabatnya Haji Abdul Hamid ibnu Isa Lingga. Kandungannya merupakan keringkasan cara-cara membahagi pusaka yang diringkaskan daripada kitab Ghayatut Taqrib karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Al-Manhajul Masyru' karya Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif al-Minankabawi. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura.

9. Catatan Hal Ehwal. Masih dalam bentuk manuskrip asli. Kandungannya merupakan catatan peristiwa beliau mulai berada di Terengganu dan bekerja sebagai Sekretari Sultan Terengganu. Catatan dimulai 1 Muharam 1337 H sampai 1 Rabiulawal 1341 H. Dalam catatan ini dapat kita ketahui hubungan yang sangat erat antara Haji Ja'afar dengan Sultan Terengganu dan para golongan

istana Terengganu selain baginda sultan.

Selain itu sangat banyak perkara penting yang terjadi dalam jarak waktu yang tersebut itu, sebagai contoh di antaranya terdapat tentang kewafatan Raja Haji Muhammad Sa'id bin Raja Haji Muhammad Tahir ulama dan pengarang Riau yang terkenal. Haji Ja'afar Lingga menulis, ``11 Safar 1338 H, malam Selasa, jam 9, sampai di pelabuhan Singapura.

Dan mendapat khabar Raja Haji Muhammad Sa'id bin Engku Engah (Engku Engah ialah gelaran untuk Raja Haji Muhammad Tahir bin Marhum Mursyid, pen:) kembali ke rahmatullah pada malam Selasa itu, jam pukul 7. Dan hamba dapat khabar terus hamba naik ke darat di Geylang di rumah Raja Haji Muhammad Tahir itu. Dan petangnya dikuburkan di Bukit Wakab. Dan berjumpalah hamba dengan Raja Haji Ali waktu itu''. Yang dimaksudkan dengan Raja Haji Ali, di sini ialah Tengku Ali atau Tengku Selat, tokoh yang dimuat dalam Utusan Malaysia, Ruangan Agama, minggu lalu.

10. Ada tiga lembar surat Pejabat Setia Usaha Kerajaan Terengganu mengenai Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar masing-masing pada tarikh Terengganu, pada 11 Ramadan 1335 (Hijrah), Terengganu, pada 21 Ramadan 1337 (Hijrah) dan surat S. 1 bilangan 31/38 Di Dalam Jabatan Setia Usaha Kerajaan Terengganu, pada 6 Safar 1338 (Hijrah). Surat yang terakhir ini menyatakan bahawa Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar bekerja di Pejabat Setia Usaha Kerajaan Terengganu mulai 20 Muharam 1335 (Hijrah) sampai 30 Muharam 1338 (Hijrah), tertulis selanjutnya, ``Maka ia minta berhenti kerana hendak balik ke Lingga (Daik). Maka di dalam pekerjaan tiada cacat suatu apa-apanya di dalam pekerjaan itu. Maka telah mengakulah kita Haji Ja'afar itu seorang yang baik di dalam pekerjaannya lagi taat bagi kerajaan ... `` Walau pun masih banyak dokumen penting mengenai Haji Ja'afar Lingga yang akan dibicarakan namun terpaksa penulis tinggalkan, insya-Allah kelanjutannya akan dibicarakan pada waktu-waktu yang lain.

This entry was posted on Sunday, November 12, 2006 at 1:49 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment