Raja Muhammad Sa'id - Cendekiawan Istana Riau  

Posted by mfrstudio

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


RAJA Muhammad Sa'id bin Raja Muhammad Tahir bin Tengku Abdullah, Yang Dipertuan Muda Riau ke IX. Datuk neneknya sebelah lelaki adalah Upu Daeng Celak yang berasal dari Luwuk, negeri Bugis, Sulawesi. Datuk nenek sebelah perempuan berasal daripada kaum Diraja Riau. Sama ada dari pihak sebelah ayah mahu pun dari pihak sebelah ibu, beliau adalah golongan elit dan intelektual Islam dalam pemerintahan Kerajaan Riau-Lingga. Ayahnya Raja Muhammad Tahir seorang ulama besar ahli falak dan menjadi Hakim Riau-Lingga.

Datuknya, Tengku Abdullah, kedudukannya adalah seorang Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga IX, sedang dalam bidang kerohanian adalah seorang ulama, Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah yang dilantik oleh gurunya, Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi al-Minankabawi. Ayah saudaranya pula, abang pada ayahnya, iaitu Raja Muhammad Tengku Nong, juga seorang ulama, ahli ekonomi dan pernah menjadi Kelana (calon Yang Dipertuan Muda). Anak Raja Muhammad Tengku Nong, iaitu Raja Ali Tengku Selat, adalah saudara sepupu Raja Haji Muhammad Sa'id. Raja Ali Tengku Selat tersebut yang pernah digelar ``Gembala Perniagaan Melayu''.

Raja Muhammad Sa'id bin Raja Muhammad Tahir dan saudara perempuannya Tengku Badariah binti Raja Muhammad Tahir, kedua-duanya adalah intelektual Riau-Lingga zamannya, kedua-duanya cucu Marhum Mursyid al-Khalidi yang menghasilkan penulisan ilmu. Dalam artikel ini hanya memfokuskan Raja Muhammad Sa'id saja, sedang adiknya Tengku Badariah akan dibicarakan dalam artikel tersendiri. Tahun lahir Raja Muhammad Sa'id belum diketahui, mengenai wafatnya dicatat oleh Ja'afar bin Abu Bakar Lingga, bahawa Raja Muhammad Sa'id wafat di Singapura, pada hari Selasa, 11 Safar 1338 H/4 November 1919 M.

Pendidikan

Pendidikan asasnya mula-mula diperolehnya di lingkungan alim ulama Riau sendiri, sebahagian besar termasuk dalam lingkungan kerabat Diraja. Pengetahuan yang paling banyak dipelajarinya daripada orang tuanya sendiri, Raja Muhammad Tahir, terutama ilmu falakiyah, ilmu hisab dan ilmu-ilmu Arabiyah. Dia juga menerima bai'ah Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah daripada orang tuanya itu. Setelah ilmu yang dipelajari daripada ayahnya cukup banyak, dia melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Di Mekah dia bergaul rapat dengan dua orang anak Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau, iaitu Syeikh Muhammad Nur dan Syeikh Azhari. Di Mekah dia belajar kepada ramai guru, di antara mereka ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mengirimnya belajar ke Mesir bersama murid-murid beliau yang lain. Syeikh Ahmad al-Fathani memberikan kepercayaan kepada muridnya, Syeikh Tahir Jalaluddin Minangkabau sebagai mengetuai pelajar-pelajar putera Diraja Riau-Lingga di Mesir.

Selain mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu, Raja Muhammad Sa'id mendapat pendidikan khusus dalam disiplin ilmu falak. Memandangkan perkembangan semasa, akhir-akhir ini telah diadakan berkali-kali seminar tentang ilmu falak, sebagai contoh pada tarikh 1 Syaaban 1426 H/5 September 2005 M, Jabatan Mufti Pulau Pinang, Unit Penyelidikan Ilmu Falak & Sains Atmosfera, USM dan Pusat Islam USM menganjurkan Seminar Ilmu Falak Sheikh Tahir Jalaluddin dan Sheikh Abdullah Fahim: Perintis Ilmu Falak Moden. Oleh itu pada pandangan saya, Raja Muhammad Sa'id dan ayahnya Raja Muhammad Tahir, yang telah muncul mendahului dalam penyebaran ilmu falak daripada Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Fahim, perlu mendapat liputan media dan kajian para cerdik pandai ilmu falak Nusantara.

Penglibatan falak

Di bawah ini petikan dan tambahan daripada kandungan kertas kerja yang saya bentang dalam seminar yang tersebut di atas untuk lebih luas pengenalan sejarah penyebaran ilmu falak di dunia Melayu. Aliran ilmu falak di Riau bermula daripada Syeikh Abdur Rahman al-Mashri Betawi (Jakarta), turun kepada Raja Ali Haji, turun kepada beberapa orang intelektual Riau, Johor dan Singapura.

Raja Ali Haji di antaranya turun kepada Raja Muhammad Tengku Nong bin Marhum Mursyid, turun kepada adiknya, Raja Muhammad Tahir bin Marhum Mursyid, turun kepada anaknya Raja Muhammad Sa'id. Selain melalui sanad ulama Betawi, kedua-duanya juga bersanad kepada ulama Mekah, di antaranya Syeikh Ahmad al-Fathani. Naik ke atas kepada Saiyid Abu Bakri Syatha, naik kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, dan seterusnya hingga ke atas.

Raja Muhammad Sa'id telah menyalin dan memperbaharui tulisan ilmu falak ayahnya, lalu dalam tahun 1335 H/1917 M beliau menyebarluaskan pengetahuan falak tersebut dalam Natijah yang diterbitkan oleh Mathba'ah al-Usrah, 2-5 Palembang Road Singapura. Hasil hisab dua beranak itu, untuk persamaan tarikh, hari, bulan dan tahun 1339 H/1920-1921 M disebarkan pula oleh anak saudaranya Raja Ali Tengku Selat (Ketua Syarikat AI-Ahmadiah) bin Raja Muhammad Tengku Nong dalam Natijah yang diterbitkan oleh Mathba'ah AI-Ahmadiah, 50 Minto Road Singapura, 1339 H/1920-1921 M. Natijah untuk persamaan tarikh, hari, bulan dan tahun 1341 H/1922-1923 M.

Kerana eratnya hubungan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minankabawi dengan kedua-dua ulama Riau di atas, selanjutnya barulah diperkenalkan hisab dan falak Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minankabawi yang diterbitkan oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road Singapura, 1341 H/1922-1923 M. Pengenalan tersebut diusahakan oleh Raja Umar (Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah), bin Raja Hasan Riau. Raja Umar adalah saudara Raja Muhammad Tahir atau saudara sepupu pada Raja Muhammad Sa'id. Kerana ibu Raja Umar, iaitu Raja Maimunah binti Tengku Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga IX adalah adik beradik Raja Muhammad Tahir. Ayah Raja Umar, iaitu Raja Hasan adalah anak Raja Ali Haji

Natijah untuk persamaan tarikh, hari, bulan dan tahun 1343 H/ 1924- 1925 M diperkenalkan hisab dan falak Syeikh Thahir Jalaluddin al-Minankabawi sekali lagi diterbitkan oleh Mathba'ah AI-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1343 H/1924-1925 M. Pengenalan tersebut diusahakan oleh Raja Muhammad `Arif/Engku Cik bin Raja Mahmud Riau, iaitu dalam lingkungan keluarga dekat tokoh-tokoh Riau yang telah disebutkan. Raja Muhammad `Arif/ Engku Cik adalah murid Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi dalam bidang ilmu falak.

Mulai Raja Muhammad `Arif/ Engku Cik, maka terjadi perubahan silsilah/sanad ilmu hisab-falak Kerabat Diraja Riau. Silsilah/sanad pertama melalui Raja Ali Haji yang belajar ilmu hisab-falak kepada Syeikh `Abdur Rahman al-Mashri di Betawi dan sewaktu ke Mekah tahun 1243 H menerima sanad berbagai-bagai ilmu termasuk ilmu hisab-falak kepada Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Daripada Raja Ali Haji menurunkan beberapa orang tokoh hisabiyah-falakiyah kerajaan Riau yang diawali pendokumentasian oleh Raja Muhammad Tahir bin al-Marhum Mursyid. Selanjutnya Raja Muhammad Tahir bin al-Marhum Mursyid sewaktu ke Mekah tahun 1321 H/1903 M menerima sanad berbagai-bagai ilmu termasuk ilmu hisab-falak daripada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang sebaya dengan beliau.

Putera beliau, iaitu Raja Muhammad Sa'id, dan Raja Umar bin Raja Hasan belajar asas ilmu hisab-falak kepada beliau dan memperdalam berbagai-bagai ilmu termasuk ilmu hisab-falak kepada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Ada pun Raja Muhammad `Arif/Engku Cik belajar asas ilmu hisab-falak kepada ayah saudaranya Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong yang belajar kepada saudara sepupunya Raja Muhammad Sa'id bin Raja Muhammad Tahir dan sempat pula belajar kepada ayah saudaranya, Raja Muhammad Tahir bin al-Marhum Mursyid.

Raja Muhammad `Arif/Engku Cik kemudian memperdalam ilmu itu kepada Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong pula adalah sahabat ulama yang berasal dari Minangkabau itu. Dalam beberapa hal Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong selalu merujuk kepada Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi juga murid Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani tetapi lebih banyak belajar kepada Saiyid `Umar Syatha (saudara kandung Saiyid Abi Bakri Syatha) dan Syeikh Ahmad Khatib bin `Abdul Lathif al-Minankabawi. Syeikh Ahmad Khathib bin `Abdul Lathif al-Minankabawi adalah saudara sepupu Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi.

Terakhir sekali Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi memasuki Al-Azhar di Mesir dan sempat belajar kepada Syeikh Muhammad Abduh. Dalam masa Raja Muhammad `Arif/Engku Cik sebagai manager/mudir Mathba'ah AI-Ahmadiah Cawangan Singapura, hisab-falak Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi terus diperkenal dan disebarluaskan melalui natijahnya yang pada terbitan tahun 1346 H/1927-1928 M judul Natijah diganti dengan judul Natijah AI-Ahmadiah.

Penulisan

Raja Muhammad Sa'id termasuk di antara ulama Riau yang banyak menghasilkan karangan, yang pernah diterbitkan adalah sebagai berikut:

1. Wa'izh li Nafsi wa li Ikhwani, diselesaikan 9 Safar 1316 H, hari Selasa di Riau, Pulau Penyengat Indera Sakti. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura. 2. Jalan Kesatuan atau Al-Irsyad ila Thariq at-Taallufi wa al-Ittihad, diselesaikan pada 25 Syawal 1325 H/1 Oktober 1907 M, hari Ahad di Riau Pulau Penyengat, Kampung Baru. Diterbitkan oleh Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1345 H/1927 M atas usaha Raja Umar bin Raja Hasan Riau. 3. `Iqdul Jauhar fi Maulid an-Nabi al-Azhar, ditulis di Pulau Penyengat, Riau, pada malam Ahad, 11 Ramadan 1327 H/23 September 1909 M. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1327 H/1909 M. Kandungan mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, merupakan terjemah daripada karya Saiyid Ja'afar al-Barzanji. 4. Syair Nazham Tajwid al-Quran, diselesaikan pada 26 Jamadilawal 1328 H/30 Mei 1910 M. Cetakan yang kedua Mathba'ah Al-Ahmadiah, nombor 82 Jalan Sultan Singapura, 1346 H/1927 M. Kandungan mengenai ilmu tajwid yang ditulis dalam corak syair (puisi).

5. Panduan Kanak-Kanak, diselesaikan pada 4 Muharam 1335 H/31 Oktober 1916 malam Selasa. Diterbitkan oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah atas kehendak Ketuanya Raja `Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong dan Raja Umar bin Raja Hasan. 6. Simpulan Islam, tidak disebut tahun selesai penulisan. Dicetak 1339 H/1921 M, oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura. 7. Naskhah Hisab, ditulis di Singapura, pada 1 September 1910 M. 8. Adabul Fata, dulu saya memiliki karya judul ini, namun ketika menyusun artikel ini naskhah tersebut hilang daripada simpanan.

This entry was posted on Sunday, November 12, 2006 at 4:00 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment