Abdul Rahman Al-Kalantani - Mufti terakhir kerajaan Mempawah  

Posted by mfrstudio

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


Ulama-ulama yang dikisahkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia sebelum ini, sebahagian besarnya adalah ulama-ulama pendatang ke Malaysia, terutama yang berasal dari Patani. Berlainan dengan ulama yang diceritakan ini, beliau adalah ulama yang berasal dari Kelantan, Malaysia yang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, Indonesia. Beliau ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani. Tahun kelahirannya tidak diketahui. Beliau meninggal dunia pada tahun 1391 Hijrah/1971 Masihi dalam usia melebihi 80 tahun. Kuburnya terletak di Kampung Pulau Pedalaman, Mempawah.

Terdapat beberapa ulama yang berasal dari Malaysia dan datang ke Kalimantan Barat sebelum Abdur Rahman, antara mereka ialah Tuan Guru Haji Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah. Makamnya terletak di Kuala Secapah, Mempawah. Haji Ismail bin Abdul Majid berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Mufti di Kerajaan Pontianak. Beliau meninggal di Kelantan.

Pendidikan

Abdur Rahman adalah murid peringkat awal Tok Kenali. Menurut keterangannya sendiri bahawa beliau sempat menadah kitab sewaktu Tok Kenali mengajar di bawah pohon getah, kerana pada waktu itu beliau belum memiliki bangunan surau atau madrasah. Perkara yang sangat ditekankan dalam pendidikan tersebut ialah ilmu nahu dan sharaf. Abdur Rahman sempat mempelajari kedua-dua ilmu itu daripada Tok Kenali mulai peringkat yang paling asas hingga peringkat tertinggi. Sampai hari tuanya, beliau masih tetap menghafal Matan Alfiah Ibnu Malik yang terdiri daripada 1000 bait dan sangat terkenal. Selain Matan Alfiah, beliau juga menghafal matan-matan lainnya.

Antara murid Tok Kenali yang menjadi ulama besar terkenal dan sama-sama belajar dengan Abdur Rahman, bahkan tinggal sepondok, ialah Syeikh Idris al-Marbawi, penyusun Kamus al-Marbawi, tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan Malaysia pertama.

Selanjutnya setelah memperoleh ilmu yang sangat banyak di pondok pengajian Tok Kenali, Abdur Rahman melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Beliau tinggal di Mekah selama belasan tahun.

Perantauan

Begitu lama Abdur Rahman belajar sambil merantau di Mekah dan sekitarnya, sehingga ketika pulang ke Kelantan beliau tidak begitu mesra tinggal di Kelantan, negerinya sendiri. Menurutnya, pada mulanya beliau akan merantau ke Banjar, kerana di sana sangat terdapat ramai ulama. Perancangan awalnya, dari Banjar beliau akan ke pulau Jawa kerana sewaktu berada di Mekah beliau sempat belajar kepada beberapa orang ulama yang berasal dari Jawa, antaranya, Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor.

Dari Kelantan Abdur Rahman menuju ke Singapura dan selanjutnya belayar menuju Sambas. Pada zaman itu Sambas juga terkenal dengan ulamanya yang ramai. Di Sambas beliau tinggal di rumah Syeikh Muhammad Basiyuni Imran, Maharaja Imam Sambas yang sangat terkenal.

Syeikh Muhammad Basiyuni Imran menyarankan supaya Abdur Rahman tinggal di Kerajaan Sambas dan tidak perlu merantau ke Banjar atau ke Jawa kerana Kerajaan Sambas masih memerlukan para ulama. Atas kehendak Syeikh Muhammad Basiyuni, beliau diberikan seorang isteri di Kampung Semperiuk, Sambas. Sekali gus diberi tugas mengajar di daerah tersebut dan beberapa daerah yang berdekatan dengannya.

Mufti dan guru penembahan Mempawah

Setelah beberapa tahun Abdur Rahman menetap di Sambas, beliau diminta pula oleh Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin, Penembahan Mempawah untuk berpindah ke Mempawah bagi mengajar di Istana Mempawah dan sekali gus mengajar di masjid-masjid dan surau-surau dalam pemerintahan Mempawah.

Sebelum tawaran itu diterima, terlebih dulu Abdur Rahman mengadakan perundingan dan persetujuan daripada Syeikh Muhammad Basiyuni Imran.

Semua yang dijanjikan oleh Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin kepada Abdur Rahman dipenuhi. Pangeran Muhammad Taufiq membahagikan dua jalur penyebaran Islam dalam Kerajaan Mempawah, iaitu sebelah utara ditugaskan kepada Abdur Rahman Kelantan dan sebelah selatan kepada Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ahmad yang berasal dari Banjar. Kedua-dua ulama tersebutlah yang paling terkenal dalam Kerajaan Mempawah sebelum perang dunia kedua.

Selain sebagai Mufti, mengajar kerabat istana, mengajar di masjid-masjid dan surau-surau, Abdur Rahman juga mendirikan pondok pengajian menurut sistem pondok Patani dan Kelantan yang diberi nama Darul `Ulum.

Catatan peribadi

Pertama kali sampai di Mempawah pada tahun 1969, penulis tinggal di rumah Tuan Guru Haji Abdur Rahman Kelantan. Di sini penulis sempat bergaul dan belajar kepada beliau, maka dirasakan perlu merakamkan beberapa catatan penting mengenai beliau.Sewaktu perang dunia kedua, ramai pemimpin dan ulama di Kalimantan Barat dibunuh oleh Jepun tetapi Abdur Rahman terlepas daripada tangkapan Jepun.

Menurut ceritanya bahawa pada suatu hari sesudah sembahyang Subuh, tiba-tiba ada seorang yang tidak dikenali datang ke rumahnya. Orang itu menyuruh beliau segera meninggalkan rumah. Abdur Rahman segera mengikut arahan tersebut. Beliau kemudiannya pergi ke Sungai Bundung, kira-kira 30 km dari Mempawah, iaitu sebuah kampung yang ramai muridnya. Tidak lama kemudian tentera Jepun sampai ke rumahnya tetapi Abdur Rahman tidak berada di rumah. Oleh kerana itu, tentera Jepun langsung menuju Istana Mempawah dan menangkap Penembahan Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin dan pembesar-pembesar lainnya.

Sekiranya beliau berada di rumah, sesudah Maghrib biasanya beliau mengamalkan wirid hingga masuk waktu Isyak. Sesudah makan malam beliau akan berjalan mundar-mandir sekurang-kurangnya seratus langkah. Menurutnya amalan sedemikian untuk penghadaman makanan yang tujuannya menjadikan badan sentiasa segar dan sihat. Sambil melakukan riadah tersebut, kedengaran beliau membaca surah-surah al-Waqi`ah, al-Mulk dan lain-lainnya secara hafalan.

Beliau akan berhenti mengajar kira-kira pukul 11.00 malam. Pukul 3.00 pagi akan terdengar suaranya mengucapkan zikir dan surah al-Ikhlas sehingga kedengaran azan Subuh.

Peristiwa ini diketahui penulis kerana penulis tidur di bilik yang disediakannya, iaitu bersebelahan dengan bilik tempat beliau tidur dan beramal.

Jika beliau berada di kediaman muridnya, mengajar di kampung yang berjauhan dari rumahnya, beberapa amalan di atas tetap dikerjakan, ditambah lagi mengajar hingga pikul 12.00 malam. Sesudah mengajar beliau terus mengerjakan beberapa jenis sembahyang sunat dan berwirid kira-kira satu jam lamanya. Sekitar

pukul 1.00 pagi barulah beliau merebahkan badannya di atas tempat tidur. Kira-kira pukul 3.00 pagi, beliau bangun lagi untuk berwirid selama satu jam.

Lebih kurang satu jam sebelum Subuh beliau mandi. Biasanya, air mandinya disediakan oleh murid-muridnya. Cara mandinya juga mempunyai cara tersendiri, Setiap gayung air yang disiramnya, diiringi dengan bacaan doa. Siraman air sekurang-kurangnya 40 gayung.

Selain hal-hal yang tersebut, biasanya murid-muridnya menyediakan kopi yang asli, telur ayam kampung dan madu asli. Semuanya beliau adun dalam air panas. Menurut beliau, amalan tersebut diamalkannya sejak muda lagi dan khasiatnya supaya badan tidak lemah.

Menurut keterangan anaknya Drs. Haji Abdul Malik, sepanjang pergaulannya dengan beberapa orang ulama di Banjar, Kalimantan Selatan, beliau tidak berjumpa cara-cara melakukan amalan-amalan dengan rutin atau istiqamah seperti yang dikerjakan oleh orang tuanya itu, bahkan tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa bidang penguasaan ilmu Islamnya juga sangat sukar untuk dicari gantinya.

Segala yang penulis sebutkan di atas mungkin ada benarnya, kerana umur beliau ketika itu telah mencecah lebih 70 tahun. Penulis pernah mengikutnya berjalan kaki sejauh 8 km ke tempatnya mengajar. Beliau berjalan dengan laju tanpa berhenti walaupun sekejap.

Karya dan keturunan

Karya yang sempat dihasilkannya hanya sebuah, iaitu Qawaninul Mubtadi fil Fiqh yang diselesaikan pada 22 Zulhijjah 1353 Hijrah/27 April 1935 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang fikah dalam bentuk soal jawab. Ia dicetak oleh Mathba'ah al-Masawi, 14 Ulu Palembang.

Abdur Rahman Kelantan berkahwin dua kali. Perkahwinan pertamanya di Kampung Semperiuk, Sambas, memperoleh seorang anak bernama Haji Aziqqi. Beliau memperoleh pendidikan Universiti Al-Azhar, Mesir dan selanjutnya menjadi pensyarah di sebuah universiti di Banjar. Haji Aziqqi meninggal dunia di Banjar. Semua anaknya berada di Banjar, Kalimantan Selatan. Perkahwinan kedua di Mempawah, memperoleh dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Antara anak-anaknya dengan isteri di Mempawah ialah Drs. Abdul Malik yang telah meninggal dunia. Jawatan yang pernah disandangnya ketika hidupnya ialah Kepala Kantor Urusan Wilayah Propinsi Kalimantan Barat di Pontianak. Anak perempuan Abdur Rahman yang bernama Mahfuzah berkahwin dengan Ustaz Hasan Basri, yang aktif memimpin Thariqat Naqsyabandiyah Muzhhariyah.

Antara murid-murid Abdur Rahman yang masih aktif hingga sekarang ialah Ustaz Haji Zainal Arifin bin Ahmad, Ketua Majelis Ulama Daerah Tingkat II Kabupaten Pontianak di Mempawah. Murid beliau pula ialah Drs. Haji Bujang Rasni, Kepala Pondok Pesantren Usuluddin di Singkawang.

This entry was posted on Sunday, November 12, 2006 at 12:27 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment