Syeikh Faqih Ali al-Fathani tokoh pertama menulis sejarah Patani  

Posted by mfrstudio

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ADA orang bertanya melalui e-mel tentang tulisan saya berhubung Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Adakah beliau sama dengan Andi Ali (Pakih Ali) asal usul keturunan ramai kaum raja-raja atau bangsawan di Malaysia, terutama Kelantan, Terengganu dan Patani. Bahawa sumber asal salasilah Andi Ali (Pakih Ali) adalah dimulai dari tulisan Datuk Nik Mahmud bin Ismail, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.

Buku karya Datuk Nik Mahmud bin Ismail Kelantan itu diberi judul Ringkasan Cetera Kelantan Mengandungi Silsilah Raja-Raja Dan Tarikhnya. Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani (di Mempawah) adalah lain dari Andi Ali (Pakih Ali) yang diriwayatkan oleh Datuk Nik Mahmud bin Ismail Kelantan. Tetapi Andi Ali (Pakih Ali) ada kemungkinan personaliti yang sama dengan Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang dimuat dalam artikel ini.

Walau bagaimanapun Andi Ali (Pakih Ali) ada riwayat mengatakan berasal dari Malabar (India). Riwayat lain menyebut adalah salah seorang anak raja yang berasal dari negeri Bugis (Sulawesi). Anda yang mengirim e-mel dan semua peminat saya ucapkan terima kasih, jawapan akan ditemui dalam artikel ini, sekiranya dibaca dengan cermat dan menghayatinya.

Nama lengkap tokoh dan ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Fathani bin Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih al-Abbasi. Beliau adalah cucu salah seorang penyebar Islam peringkat awal di Patani, iaitu Syeikh Shafiyuddin. Syeikh Shafiyuddin adalah salah seorang keturunan Khalifah Bani Abbas yang datang menyebar Islam di Aceh.

Datuk nenek Syeikh Shafiyuddin telah lama tinggal di Aceh, tetapi beliau sendiri meneruskan dakwah ke bumi Patani. Setelah di Patani lalu diberi gelar dengan Tok Raja Faqih. Dalam penelitian saya bahawa Syeikh Shafiyuddin keturunan Bani Abbas adalah sahih sedang versi yang satu lagi, yang menyebut bahawa Syeikh Shafiyuddin adalah anak Faqih Ali al-Malabari atau pun anak Raja Bugis masih diragukan kerana belum cukup hujah.

Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi atau Tok Raja Faqih memperoleh dua orang anak iaitu; Raja Ducang Bukit Jala bergelar Raja Fathani Long Cang. Seorang lagi bernama Wan Muhammad bergelar Orang Kaya Seri Akar Diraja Mahaputeri Bagi Sultan Digalang Ismail Zhillullah fil Alam. Wan Muhammad memperoleh enam orang putera, iaitu; 1. Datuk Pujut (Pujuk Wan Cang, bergelar Raja Luqman). 2. Wan Jaharullah. 3. Ratu Saiburi. 4. Datuk Long Tarat. 5. Syeikh Faqih Ali, yang dibicarakan dalam rencana ini dan 6. Long Yunus.

PANGKAT DAN KEDUDUKAN

Mulai dari Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, Wan Muhammad dan Syeikh Faqih Ali mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi dalam kerajaan Fathani Darus Salam. Syeikh Faqih Ali menyandang gelar Datu Maharajalela. Bererti pada zamannya beliau bertugas seperti Perdana Menteri. Anak saudara beliau, iaitu Wan Abdul Lathif bin Raja Luqman bin Wan Muhammad menyandang pangkat Wazaratul Harbiyah (Menteri Pertahanan). Pada tahun 1632 terjadi serangan dahsyat tentera Siam terhadap Patani. Syeikh Faqih Ali al-Fathani atau Datu Maharajalela dan beberapa orang pembesar terpaksa hijrah ke Bugis di Sulawesi Selatan.

Dari sumber tanah Bugis pula, Roeli Sanre dalam Mutiara, 280, 27 Oktober - 9 November 1982, hlm. 30, menulis, “Tahun 1632 pada masa pemerintahan I Mengarangi Daeng Manrabbi, Raja Gowa XIV, datang lagi serombongan raja dari Patani yang dipimpin oleh Datuk Maharajalela membawa dua keponakannya, Paduka Raja dan Puteri Senapati. Kedatangan mereka sekaligus memboyong simbol tahta kerajaan Patani, sebuah bendera emas, yang oleh keturunan Melayu di Ujungpandang, disebut Datuk Buluh Perindu.”

Dalam sepucuk surat dari Bapak Arena Wati (Sasterawan Negara) kepada saya (tahun 1982, sewaktu beliau sebagai Karyawan Tamu Yayasan Sabah), beliau menyebut bahawa khazanah kerajaan Patani yang tersebut masih tersimpan dengan baik oleh kerajaan Bone.

Dari sumber yang lain, Kenallah Sulawesi Selatan juga menyebut perkara yang sama. Bahkan dinyatakan pula bahawa Datu Maharajalela, Patani, menjadi ketua orang-orang Melayu di Sulawesi Selatan. Pada zaman itu ramai orang Melayu yang datang dari pelbagai tempat dari seluruh negeri-negeri Melayu di Makasar. Dari sini dapat kita fahami bahawa Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela Patani adalah seorang yang berpengaruh dan berwibawa sehingga beliau dilantik menjadi Ketua Melayu di negeri Bugis itu.

Bahkan bukan hanya itu saja, diriwayatkan bahawa keturunan Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela berperanan aktif dalam perang melawan penjajah Belanda di Sulawesi Selatan ketika Sultan Hasanuddin dikepung oleh Belanda di bawah pimpinan Admiral Spelman keturunan pembesar Patani itu bangkit mengadakan perlawanan. Sikap anti penjajah mereka bukan hanya di negeri sendiri saja tetapi juga di negeri perantauan.

Ada riwayat lain yang ceritanya hampir serupa dengan di atas bahawa Datu Mustafa mempunyai anak bernama Ali digelar dengan Tok Koda Bonang. Beliau ini mengembara di tanah Bugis, di Sulawesi Selatan juga. Setelah beberapa lama di tanah Bugis beliau pulang ke Patani pada masa pemerintahan Raja Ungu (1624 - 1635 M). Ali inilah yang dikatakan menggantikan Faqih Ali al-Malabari yang mati terbunuh dalam perang antara Patani dengan Siam tahun 1634. Faqih Ali al-Malabari digelar dengan “Temenggung Seri Paduka”, sedang yang menggantinya digelar dengan Datu Seri Maharajalela.

Versi riwayat lain yang ceritanya hampir serupa pula seperti yang ditulis oleh Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan, kata beliau, “Syahdan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.

Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damid Bira pada tahun 1049 H (kira-kira bersamaan dengan tahun 1639 M). Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran, orang di Patani memanggilnya, Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Cik Dewi anak Seri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 H (tahun yang diberikan kemungkinan keliru, seharusnya ialah tahun 1049 H/1639 M).”

Setelah membanding semua kisah di atas dan pelbagai maklumat lain yang tidak dinyatakan di sini, saya menyimpulkan bahawa yang bernama Syeikh Faqih Ali al-Fathani kemungkinan terdapat beberapa orang atau pun hanya seorang saja. Iaitu Syeikh Faqih Ali al-Fathani bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi. Mengenai ini dapat dibuktikan dari hasil karya beliau yang berjudul Tarikh Patani.

TARIKH PATANI

Berdasarkan maklumat dalam manuskrip Tarikh Patani, Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiuddin al-Abbasi sendiri menyebut bahawa kandungan asal Tarikh Patani adalah dari sebuah karya dalam bahasa Arab yang ditulis oleh datuk beliau Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih. Syeikh Faqih Ali menterjemah kitab bahasa Arab itu ke bahasa Melayu serta menambah kandungannya dengan beberapa peristiwa yang beliau ketahui. Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali tersebutlah sejarah Patani yang pertama sekali yang dapat kita pelajari sekarang ini.

Walau bagaimanapun manuskrip yang asli tidak ditemui, yang ada sekarang ialah salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Syeikh Daud membuat salinan dalam tahun 1228 H/1813 M. Salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu disalin pula oleh salah seorang murid beliau ialah Syeikh Wan Muhammad bin Zainal Abidin al-Fathani atau lebih dikenali sebagai Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani. Salinan Syeikh Muhammad Zain itu telah saya perbanyak sama ada dalam bentuk asli mahu pun transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Rumi.

Kata pengantar

Dalam manuskrip Tarikh Patani terdapat dua kata pengantar (mukadimah). Mukadimah yang pertama oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan mukadimah yang kedua oleh pengarangnya, Syeikh Faqih Ali al-Fathani. Di antara tulisan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada mukadimah, “Ini suatu risalah aku salin daripada Syeikh Faqih Ali iaitu Tarikh Patani pada zaman lama. Bahawasanya tarikh lama itu boleh kita tahu akan manusia zaman dahulu di negeri ini. Tarikh zaman lama itu tiada ada lagi dikarang di negeri Patani melainkan susunan Tuan Syeikh yang mulia ini. Boleh terhimpunkan dengan sempurna.

“Kefaedahannya ialah boleh mengetahui perihal keadaan orang zaman dahulu hingga sampai ke zaman kita Atau zaman jahil dengan zaman nur ... Boleh kita kenal dan nampak bahawasanya orang Melayu zaman dahulu, apakah duduk dalam tanah bumi ‘Patani’ ini ? Maka negeri lama di tanah Melayu ini ialah di kawasan Kedah dan Patani, dan Senggora, dan Legor. Termasuk juga negeri ‘Cahaya’ (sekarang Cayya) di sebelah hilir. Sekelian zaman purbakala, belum masuk Islam Dan seumpamalah dengan zaman belum zahir negeri Islam di tanah Arab....”

Mukadimah Syeikh Faqih Ali al-Fathani adalah seperti berikut, “Perhamba seorang yang tak berguna, lagi hina, Syeikh Faqih Ali bin Muhammad bin Shafiyuddin dititah oleh sultan banyak kali dah (maksudnya: sudah, pen:) supaya mengarang dan menyusun Tarikh Fathani kerana takut hilang riwayat kisah-kisah purbakala. Dan perhamba pun ikhtiar mengikut titah sultan yang mulia. Bahawasanya sultan memberi riwayat kisah-kisah sangat banyak dan boleh tulisan-tulisan peringatan zuriat-zuriat orang- orang tua titih (maksudnya: keturunan, pen:) Raja Patani asli kurun yang lama. Maka bahasa-bahasa[nya] tiada perhamba mengetahui setengah-setengahnya. Maka adalah seorang Legor agama Budha dia terjemah dapat banyaklah kepada perhamba. Dan raja pun hadiah tanah kepada orang tua itu....”

Setelah itu Syeikh Faqih Ali al-Fathani menyatakan pula, Syahdan ada tulisan bahasa Arabiyah daripada nenek perhamba Syeikh Shafiyuddin, maka bahasa Arabiyah ini perhamba fahamlah dan senanglah ambil maknanya. Dan ada seorang datang dari Bogor, iaitu seorang yang asalnya dari Bogor, Jawa duduk tumpang Sultan Patani. Dan dia tahu bahasa Jawa. Dan banyaklah dia tolong perhamba.

“Perhamba mengucap syukran kepadanya banyak-banyak. Dan lama membuat ini risalah Tarikh Patani, alhamdulillah dengan ditakdirkan Allah Taala hasilnya sekadar perhamba boleh. Dan mana salah itu tentu ada dengannya. Harapkan betul dengan ikhlas sahaja. Kerana salah bagi makhluk tentu ada. Dan perhamba payah sangat-sangat hendak karang ini tarikh....”

This entry was posted on Sunday, November 12, 2006 at 3:12 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment