Saiyid Abdullah Az-Zawawi Mufti Syafi'iyah Mekah  

Posted by mfrstudio

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


RUANGAN Agama Utusan Malaysia minggu lalu telah memperkenalkan seorang ulama Arab yang berasal dari Libya yang sangat besar jasanya terutama di Pulau Pinang. Ulama yang dibicarakan kali ini juga seorang bangsa Arab yang cukup terkenal di dunia Melayu, bahkan secara berantai mulai datuk, ayah, beliau sendiri hingga keturunannya berperanan penting dalam penyebaran ilmu-ilmu Islam di dunia Melayu. Untuk menulis riwayat ini saya gunakan beberapa sumber.

Sumber daripada bahasa Arab ialah tulisan Syeikh 'Umar Abdul Jabbar yang dimuat dalam Kitab as-Siyar wa at-Tarajim. Sumber bahasa Melayu ialah sebuah risalah judul Kaifiyah 'Ala Thariqah An-Naqsyabandiyah Al-Mujaddidiyah Al-Ahmadiyah Li Al-'Allamah Al-Quthub Ash-Shufiyah As-Saiyid Muhammad Shalih Ibnu As-Saiyid Asy-Syarif 'Abdur Rahman Az-Zawawi (cetakan Mathba'ah al-Ahmadiyah al-Kainah fi Bandar Riau al-Mahrusah al-Mahmiyah, 11 Muharam 1313 H). Selain itu, sumber yang paling penting ialah catatan-catatan (manuskrip) yang saya peroleh dari istana kerajaan Pontianak.

Sumber yang tidak kurang penting ialah wawancara beberapa orang di antaranya keturunan beliau Saiyid Muhammad Yusuf bin Saiyid 'Ali az-Zawawi (pernah menjadi Mufti Terengganu).

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih bin Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Lahir 1266 H/1850 M. Saya masih meragui tahun wafat 1343 H/1924 M yang disebut oleh Syeikh 'Umar Abdul Jabbar, kerana beberapa tahun sesudah tahun itu Saiyid Abdullah az-Zawawi masih berada di Pontianak. Jika diperhatikan tahun lahir tersebut, ia bersamaan dengan tahun lahir Saiyid Abu Bakri Syatha (lahir 1266 H/1849 M). Dengan maklumat ini mudahlah kita menjejaki guru-guru ulama yang diriwayatkan ini.

- Apabila kita membicarakan ulama Arab keturunan ‘Saiyid’ yang tersebut pada judul, dapat kita jejaki mulai dari datuknya lagi yang pernah datang ke dunia Melayu. Datuk beliau bernama Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Dalam sebuah catatan yang diperoleh dari istana kerajaan Pontianak disebutkan bahawa pada tahun 1295 H/1878 M, Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi datang di Pontianak mengajar beberapa ilmu dan membaiah Tarekat Naqsyabandiyah.

- Anak Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi yang bernama Saiyid Muhammad Shalih (lahir 1246 H/1830 M, wafat 1308 H/1890 M) pula pernah datang ke Pulau Penyengat, Riau. Beliau juga mengajar pelbagai ilmu dan sempat membaiah Tarekat Naqsyabandiyah al-Mujaddidiyah al-Ahmadiyah kepada Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi (wafat 1317 H/1899 M), iaitu Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga yang ke-X (Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga yang terakhir).

- Syeikh 'Umar Abdul Jabbar menulis bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah, Mekah. Sebagaimana diketahui dalam sejarah bahawa yang mendirikan madrasah tersebut ialah Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-'Utsmani (salah seorang keturunan Saidina 'Uthman bin 'Affan). Oleh sebab sudah jelas bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar di madrasah tersebut, maka sudah pasti beliau adalah termasuk golongan murid yang pertama belajar kepada ulama keturunan Saidina 'Uthman bin 'Affan r.a itu. Sanad pelbagai ilmu Islam dapat diketahui melalui Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-'Utsmani yang banyak dibicarakan dalam pelbagai kitab.

Sumber Arab

- Pendidikan Saiyid Abdullah az-Zawawi melalui jalan yang lain pula, terutama dalam ilmu tasawuf dan tarekat, dapat diketahui daripada sumber Arab dan Melayu. Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar kepada ayahnya, iaitu Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi belajar kepada ayahnya, iaitu Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi selain belajar kepada ayahnya juga belajar dengan Saiyid Muhammad Mazhhar al-Ahmadi. Beliau ini belajar dengan Syeikh Ahmad Sa'id al-Ahmadi yang belajar dengan Syeikh Abi Sa'id al-Ahmadi. Syeikh Abi Sa'idbelajar dengan Syeikh Abdullah ad-Dahlawi. Syeikh Abdullah ad-Dahlawi ini adalah ulama yang sangat terkenal terutama dalam bidang ilmu hadis. Selain nama-nama yang tersebut di atas, Saiyid Abdullah az-Zawawi juga belajar dengan beberapa orang ulama di Mekah termasuk juga dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

- Telah diketahui umum bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Hampir-hampir tidak ada orang menceritakan bahawa beliau menduduki beberapa jabatan penting di Makkah ketika beliau belum berpindah ke dunia Melayu. Tetapi Syeikh 'Umar Abdul Jabbar menulis bahawa pada zaman pemerintahan Syarif Husein di Mekah, Saiyid Abdullah az-Zawawi memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Syura, Ketua Majlis Syuyukh dan Ketua 'Ain Zubaidah. Di samping menyandang kedudukan yang tinggi di Mekah, Saiyid Abdullah az-Zawawi juga giat mengajar. Ramai ulama yang berasal dari dunia Melayu belajar dengan beliau di Makkah yang kemudian menjadi ulama besar yang berperanan penting dalam penyebaran Islam di negeri mereka masing-masing atau tempat-tempat lainnya.

- Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi, salah seorang cicitnya, ketika saya temui di Masjid Negara meriwayatkan bahawa sewaktu Prof. Dr. Snouck Hurgeronje datang ke Mekah dia kagum dengan kehebatan ilmu dua orang ulama. Yang seorang bangsa Arab, iaitu tok Ana (maksudnya diri beliau atau Saiyid Yusuf az-Zawawi, pen:) yang bernama Saiyid Abdullah az-Zawawi. Snouck belum puas kerana yang dimaksudkannya bukan ulama Arab tetapi ulama yang berasal dari dunia Melayu. Dia mencari ulama itu untuk kepentingan bangsanya, bangsa Belanda. Akhirnya, Snouck datang kepada Tok Enta (maksudnya diri saya atau Mohd. Shaghir Abdullah, pen:) iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Syeikh Ahmad al-Fathani marah kepada Snouck kerana beliau yakin bahawa Snouck masuk Islam hanyalah sebagai tipu muslihat. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh Snouck mengucap syahadat. Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi menutup perbualan bahawa dalam buku Snouck Hurgeronje judul Mecca, cetakan awal dalam bahasa Belanda, terdapat dua keping gambar. Pada bahagian depan ialah gambar Saiyid Abdullah az-Zawawi dan pada halaman berikutnya gambar Syeikh Ahmad al-Fathani. Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi juga meriwayatkan bahawa kewafatan Saiyid Abdullah az-Zawawi adalah kerana ditembak sewaktu beliau hendak keluar dari rumahnya di Taif.

Hijrah ke dunia Melayu

- Menurut tulisan Syeikh 'Umar Abdul Jabbar, Saiyid Abdullah az-Zawawi pernah mengembara ke India, Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, China dan Jepun tanpa memberikan keterangan yang lengkap tujuan pengembaraan itu. Daripada beberapa informasi yang diperoleh melalui wawancara, kedatangan Saiyid Abdullah az-Zawawi di dunia Melayu adalah sebab beliau membantah fahaman yang beraliran Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab yang sangat terkenal sebagai pencetus fahaman Wahabiyah.

- Menurut riwayat, ada beberapa orang ulama terpaksa berhijrah dari Mekah ke dunia Melayu kerana mereka menolak fahaman Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang berpengaruh dalam pemerintahan di Hijaz termasuk Mekah. Antara ulama Mekah yang berhijrah itu termasuk ulama besar Mufti Syafi'iyah Makkah iaitu Saiyid Abdullah az-Zawawi. Saiyid Abdullah az-Zawawi pernah datang ke Johor dan Riau - Lingga, namun atas permintaan Sultan Pontianak beliau meneruskan perjalanannya di Pontianak. Di Pontianak, beliau dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak.

- Ketika Saiyid Abdullah az-Zawawi berada di Pontianak, orang yang membantu beliau dalam banyak hal terutama dalam berkomunikasi dengan orang-orang Melayu ialah Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani, salah seorang murid beliau sejak ketika masih berada di Mekah lagi. Belum dijumpai riwayat yang jelas apakah ulama Kelantan itu datang ke Pontianak ikut bersama-sama gurunya itu berhijrah dari Makkah sebab tekanan pemerintah yang berfahaman Wahabi atau sebab-sebab lain. Yang jelas Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak kemudian daripada gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi.

- Syeikh 'Umar Abdul Jabbar tidak menyebut sesuatu judul penulisan Saiyid Abdullah az-Zawawi. Tetapi ada sebuah karya Saiyid Abdullah az-Zawawi saya peroleh daripada simpanan istana Sultan Pontianak melalui Syeikh 'Isa asy-Syarwani, salah seorang keturunan ulama besar sahabat Saiyid 'Abdullah az-Zawawi. Beliau ialah Syeikh 'Abdul Hamid asy-Syarwani, penulis Hasyiyah Tuhfah Syeikh Ibnu Hajar. Risalah yang ditulis dalam bahasa Arab diberi terjemahan makna bahasa Melayu oleh murid beliau, Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani. Pada halaman depan tertulis: “Ini fatwa daripada as-Saiyid Abdullah ibnu al-Marhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi jawab soal dari tanah Jawa ghafarallahu lahu Amin, bertarikh 25 Syawal 1330 H.” Diberi keterangan di bahagian bawahnya, “Dicapkan dengan kehendak as-Saiyid Ja'far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak, Amin Dicapkan pada Mathba' al-Haji Sa'id bin al-Marhum al-Haji Arsyad, tukang cap dan penjual serba serbi jenis kitab-kitab Arab - Melayu, nombor 82 Jalan Arab Street, Singapura pada 25 Syawal 1330 H oleh Muhammad bin Haji Muhammad Said Basrah Street, nombor 44, Singapura.”

Kalimat terakhir dicatatkan, “Diharap kepada ahli al-ilmi yang memandang segala makna yang tergantung ini sekiranya jika ada salah dan terang salahnya mintalah dibetulkan supaya jangan jadi panjang kesalahannya.” Selanjutnya disebut Ismuhu al-faqir ilallah nail al-amani Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani.

* Kandungan Risalah Fatwa Saiyid Abdullah az-Zawawi membicarakan suara dalam piring hitam. Yang diutamakan adalah mengenai hukum ayat-ayat atau surah-surah al-Quran yang dimuat dalam piring hitam. Atau dalam perkembangan sekarang seperti kaset, cakera padat dan lain-lain. Sebagai contoh terjemahan bahasa Melayu yang digunakan adalah seperti berikut, “telah zahir satu alat yang bercakap dengan huruf dengan berlagu dan pantun-pantun yang bersalah-salahan, berlagu-lagu dan menjerit. Dan ada zahir pada setengah-setengah lauhnya yang dinamakan piring itu rekod namanya bacaan Quran dan bang. Dan jadilah ia berpanjangan pada tiap-tiap pasar, dan pada tiap-tiap perkumpulan, dan pada tiap-tiap kedai kopi. Dan dijualkan dia pada tiap-tiap toko (kedai) dan kebanyakan yang menjual itu bangsa Nasrani dan Majusi (China), dan lain daripada mereka itu....”

Saiyid Abdullah Al-Ghadamsi sebarkan ilmu dari Libya ke Malaysia  

Posted by mfrstudio

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

RUANGAN Agama Utusan Malaysia telah menyiarkan 110 rencana mengenai ulama. Semua ulama yang diriwayatkan berasal dari dunia Melayu. Ulama ke-111 yang dibicarakan sekarang merupakan ulama yang berasal dari dunia luar. Beliau berasal dari Libya, tetapi telah menabur jasa dan keharuman peribadi di Malaysia khususnya dan dunia Melayu umumnya.

Pada 10 April 2006, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan World Islamic Call Society (WICS), Libya mengadakan Nadwah Ilmiyyah 2006 bertemakan Syeikh Abdullah Al-Ghadamsi (Al-Maghribi): Peranannya Dalam Pendidikan Islam Di Tanah Melayu. Ia diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya.

Saya membentangkan salah satu daripada 10 kertas kerja seminar itu. Kertas kerjanya berjudul Saiyid Syeikh Abdullah Al-Maghribi: Penulisan dan Penyebaran Ilmu. Kertas kerja tersebut saya ringkaskan dalam rencana ini dan ditambah beberapa maklumat yang dianggap penting setelah mengikuti semua pembentangan pada seminar itu. Sebelum saya memasuki pokok perbicaraan perlu juga saya membuat sedikit penilaian bahawa masih banyak terdapat perselisihan pendapat dalam penulisan terutama tentang tahun-tahun aktiviti Syeikh Abdullah Al-Ghadamsi.

Sesuatu yang bersifat andaian lebih menguasai daripada yang bercorak data dan fakta yang konkrit. Tiga tokoh yang dikemukakan sebagai tokoh islah ialah Syed Sheikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Al-Maghribi. Ketiga-tiga mereka sering dibicarakan. Pada pandangan saya kajian secara menyeluruh, adil, ilmiah, berfakta dan tidak berpihak perlu dibuat dalam penilaian, terutama dalam menilai dua golongan ketika itu iaitu Kaum Tua dan Kaum Muda (islah atau tajdid).

PENGENALAN RINGKAS

Nama lengkap ulama yang diperkatakan ini ialah Saiyid Syeikh al-Qadhi Abu Jabir Abdullah bin Ahmad bin Ibrahim bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Muhammad al-Qairuani al-Balawi al-Ghadamsi al-Maghribi. Nama ringkas ialah Saiyid Abdullah al-Maghribi saja. Beliau dilahirkan di Ghadamas, tahun 1310 H/1892 M (mengikut Dr. Adel Muhammad Abdul Aziz dalam satu kertas kerja bertarikh 10 April 2006, hlm. 3). Ada riwayat lain menyebut beliau lahir di Tripoli. Wafat di Mekah pada waktu Maghrib, 7 Ramadan 1395 H atau 12 September 1975. Sejak kecil telah berpindah ke Mekah. Antara gurunya selama di Mekah ialah Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar (lahir di Thaif, 1272 H/1856 M, wafat 1347 H/1928 M).

Menurut Syeikh Umar Abdul Jabbar, guru bagi Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar ialah Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-Utsmani (lahir 1226 H/1811 M, riwayat lain lahir Jumadil Awwal 1233 H/9 Mac 1818 M, wafat malam Jumaat, 22 Ramadan 1308 H/2 Mei 1891 M). Syeikh Rahmatullah ialah pengasas Madrasah ash-Shaulatiyah di Mekah. Pada penelitian saya berdasarkan sanad nampaknya tertinggal satu nama yang tidak disebut oleh Syeikh Umar Abdul Jabbar. Syeikh Ahmad bin 'Ali an-Najjar bersama-sama Syeikh Ahmad al-Fathani berguru kepada Syeikh Abdul Qadir asy-Syibli ath-Tharablusi. Sesudah ulama Libya ini barulah naik kepada Syeikh Rahmatullah al-Hindi itu. Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar juga belajar kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Memperhatikan tahun lahir Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar (1272 H/1856 M) bererti ia sama dengan tahun lahir Syeikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M), kedua-duanya sama-sama belajar kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (lahir 1232 H/1816 M, wafat 1304 H/1886 M). Kemungkinan Saiyid Abdullah al-Maghribi juga pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani atau ulama-ulama dunia Melayu di Mekah lainnya.

Untuk lebih memperkuatkan hujah, sekiranya beliau tidak belajar kepada ulama dunia Melayu kepada siapakah beliau belajar bertutur bahkan dapat menulis dengan menggunakan bahasa Melayu? Hal ini memerlukan penelitian kepada pelbagai sumber. Oleh sebab Saiyid Abdullah al-Maghribi pernah belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah, Makkah, kemungkinan beliau juga pernah belajar kepada Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani yang pernah mengajar di madrasah itu sebelum beliau menjadi Syeikh al-Islam di Selangor.

Banyak pertikaian pendapat tentang riwayat kedatangan dan tahun Saiyid Abdullah al-Maghribi berhijrah ke Pulau Pinang. Ada riwayat menyebut bahawa beliau sampai di Pulau Pinang pada 1918 M. Riwayat yang lain pula menyebut setahun kemudian, iaitu tahun 1919 M. Ada juga riwayat yang menyebut bahawa pada tahun 1919 M itu juga beliau dilantik menjadi mudir di Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah (Abdul Rahman Al-Ahmadi, dalam Tamadun Islam di Malaysia, DBP, 2000, hlm. 489) di Tek Soon Street, Pulau Pinang menggantikan tempat Saiyid Syeikh al-Hadi.

Riwayat yang lain pula menyebut bahawa beliau menjadi mudir di madrasah tersebut pada 1921 M (Abdul Rahman Al-Ahmadi, hlm. 489) hingga 1927 M (Abdul Rahman Al-Ahmadi, dalam Tamadun Islam di Malaysia, DBP, 2000, hlm. 492). Tetapi dalam majalah ar-Raja' terbitan 23 Syawal 1343 H/19 Mei 1925 pada halaman 7 dan 15 terdapat maklumat bahawa pada tahun terbitan ar-Raja' itu mudir madrasah tersebut ialah Syeikh Abbas Rafi'.

Pada 1927 M saat-saat sewaktu akan pindah ke Perak, Saiyid Abdullah al-Maghribi mengasaskan organisasi Jam'iyah Al-Khalifah Syarif Husein yang bertujuan menyokong kekhalifahan Syarif Husein Raja Mekah yang mulai tergugat setelah kejatuhan Turki Uthmaniah. Tidak sampai setahun Saiyid Syeikh Abdullah al-Maghribi mengajar di Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Perak, pada 1928 M beliau terpaksa berpindah kerana fahaman agama Islam yang dibawanya dianggap termasuk golongan Kaum Muda sedangkan di madrasah tersebut masih ramai yang faham sangat tentang selok-belok Kaum Tua.

Informasi yang lain menyebut bahawa Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Perak itu diasaskan oleh Saiyid Abdullah al-Maghribi dan beliau menjadi mudir madrasah itu (1928-1932 M). Pada tahun 1934 M didirikan pula Madrasah ad-Diniyah di Kampung Lalang di Perak. Selanjutnya pada 1935 M Saiyid Abdullah al-Maghribi mengasaskan madrasah sendiri yang dinamakan Madrasah Al-Huda di Pulau Pinang.

PENULISAN

Bagi saya, pengesanan awal ketokohan seseorang sama ada ia berasal dari dunia Melayu sendiri ataupun dari luar adalah melalui penulisannya. Demikianlah juga dengan ulama yang sedang dibicarakan ini.

Pertama kali saya mengetahui nama beliau adalah melalui sebuah karya yang berjudul Kitab Munir al-Afham Pada Menyatakan Syarah Bulugh Al-Maram (jilid 1). Tidak terdapat tahun penulisan. Dicetak oleh Al-Huda Press, 27, Cholia Street, Penang. Dicatatkan, ‘Telah didaftar di bawah nombor 873-1211-1936’. Dalam kitab tersebut ada dicatatkan maklumat ringkas tentang pengarangnya sebagai berikut: ‘Al-Allamah al-Fadhil wa al-Muhaqqiq al-Kamil Tuan Syeikh Abdullah al-Maghribi, seorang daripada ulama Mekah al-Mukarramah dan tuan empunya Madrasah al-Huda ad-Diniyah bagi laki-laki dan perempuan’.

Pada halaman akhir diiklankan dua buah karya ulama tersebut iaitu Kitab Pada Menyatakan Tafsir al-Quran dan Kitab Pada Menyatakan Perjalanan Nabi s.a.w.. Tanpa melengah-lengahkan masa tentang data kitab tersebut, saya catat nota dalam buku yang sedang saya susun iaitu Katalog Besar Persuratan Melayu. Kandungan garis besarnya berdasarkan katalog yang saya tulis itu yang membicarakan segala dalil-dalil hukum syariat agama Islam bagi mazhab yang empat daripada hadis-hadis Nabi s.a.w.

Daripada maklumat di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Saiyid Abdullah al-Maghribi adalah berbangsa Arab tetapi berkemampuan menulis dalam bahasa Melayu yang berkembang pada zaman itu. Yang dibicarakan dalam penulisan tersebut adalah mengenai hadis, iaitu syarah kitab Bulugh Al-Maram karya Syeikh Ibnu Hajar al-Asqallani. Selain menulis tentang hadis, ulama Arab kelahiran Libya tersebut juga menulis tafsir al-Quran dan sirah Nabi Muhammad s.a.w. juga dalam bahasa Melayu. Menerusi maklumat yang lain nampaknya beliau tekun dan rajin mengikuti perkembangan penulisan dalam bahasa Melayu kerana aktif dalam PASPAM (Persaudaraan Sahabat Pena Melayu). Dalam beberapa terbitan PASPAM terdapat tulisan beliau.

Beberapa tulisan dan pendapat yang menyebut bahawa Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah didirikan atau ditubuhkan oleh Saiyid Sheikh al-Hadi pada 1919 M perlu diselidiki kembali. Saya lebih menyetujui pendapat yang menyebut bahawa Saiyid Sheikh al-Hadi mereformasikan madrasah yang tersebut.

Berdasarkan informasi yang telah ditulis orang, institusi tersebut telah wujud sejak 1914 M dan dinamakan demikian kerana mengambil sempena nama Saiyid Ahmad al-Masyhur, iaitu salah seorang ahli jawatankuasa madrasah tersebut yang besar pengaruhnya di Pulau Pinang. Daripada bahan yang belum saya jumpai dalam penulisan, tetapi cerita yang bersambung daripada salah seorang keturunan murid dan anak angkat pendiri madrasah tersebut, dia menyebut bahawa Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah Pulau Pinang adalah didirikan oleh orang-orang Arab.

Yang terpenting di antara pendirinya ialah ulama bernama Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri al-Faqih al-Makki. Barangkali beliau inilah yang dimaksudkan oleh Prof. Dr. Mohd. Sarim Mustajab dalam kertas kerjanya (10 April 2006, hlm. 2) bahawa di antara 20 orang yang hadir dalam mesyuarat pada 13 Rejab 1332 H/7 Jun 1914 M, terdapat nama Syed Manshuri. Setelah merintis jalan dan mengajar di madrasah di Pulau Pinang, Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri selanjutnya mendirikan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah Dar-al-Falah di Sungai Bakau Besar, Mempawah, Kalimantan Barat.

Madrasah

Seterusnya, Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri al-Faqih al-Makki mendirikan pula madrasah di Batu Raja, Palembang, Sumatera Selatan. Diriwayatkan pula bahawa bentuk bangunan Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah di Pulau Pinang, Madrasah Dar al-Falah di Sungai Bakau Besar, Mempawah, Kalimantan Barat dan Madrasah Batu Raja di Palembang, Sumatera Selatan adalah serupa.

Sebelum tahun 1930-an Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri membawa beberapa anak angkat dan murid beliau dari Kalimantan Barat ke Madrasah Batu Raja, Palembang dan seterusnya ke Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang. Baik yang berasal dari Mempawah mahupun yang berasal dari Palembang ramai yang mengikut Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri kerana semua mereka akan diberi latihan khusus di Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang.

Menurut riwayat, ketika itu Saiyid Abdullah al-Maghribi masih mengajar di madrasah tersebut. Antara yang ikut dalam rombongan Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri ketika itu ialah Haji Sulaiman bin Sa'ad. Haji Sulaiman bin Sa'ad setelah pulang dari Pulau Pinang mendirikan sebuah madrasah di Sungai Sahang dan Sungai Cina (nama sekarang Nusapati). Madrasah tersebut dinamakan Madrasah Taufiqiyah yang masih aktif sampai sekarang. Sumber ini diperoleh dari Mempawah yang saya yakin kerana ada beberapa bukti. Saya sendiri sempat mengajar di Madrasah Taufiqiyah pada 1972 hingga 1974.

Syeikh Utsman Syihabuddin ulama Pontianak  

Posted by mfrstudio

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


DALAM buku saya tentang Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari telah saya tulis bahawa salah seorang anak ulama besar itu ada yang bernama Syihabuddin al-Banjari. Walau bagaimanapun hingga kini masih belum dapat keterangan yang jelas bahawa Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Banjari, dan kebanyakan menggunakan istilah ‘al-Funtiani’ pada hujung nama, apakah beliau cucu kepada ulama besar Banjar itu ataupun bukan.

Yang jelas beliau berasal dari Banjar dari pihak sebelah ayahnya, dan ada riwayat dari sebelah ibunya pula berasal dari Karangan (Mempawah, bahagian hulu).

Apa yang dimaksudkan dengan ‘al-Funtiani’ pula ialah Pontianak, kerana ayahnya tinggal di Pontianak, Kalimantan Barat. Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Banjari pula dilahirkan di Pontianak bukan tempat lainnya. Istilah ‘al-Funtiani’ pada konteks ulama yang diriwayatkan ini hendaklah dinisbahkan atau dibangsakan kepada ‘Pontianak’, kerana di kemudian hari jangan jadi keliru jika dinisbahkan atau dibangsakan kepada Pontian yang berada di Johor. Bagi saya adalah satu kekeliruan yang besar, yang ditulis oleh Martin van Bruinessen (sarjana yang berasal dari Belanda) dalam bukunya Tarekat Naqsyabandiyah Di Indonesia yang menyebut bahawa Syeikh Utsman dipanggil juga dengan ‘al-Sarawaki’ (lihat Tarekat Naqsyabandiyah, Penerbit Mizan, Bandung, Safar 1413/Ogos 1992, hlm. 120).

Berlaku kekeliruan di sini kerana Syeikh Utsman bin Syihabuddin hanya menggunakan dua istilah saja dihujung nama ‘al-Funtiani’ ataupun ‘al-Banjari’. Yang memakai nama hujung dengan ‘As-Sarawaqi’ ialah Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab as-Sarawaqi yang berasal dari Sarawak.

Kedua-duanya betul bernama Utsman, tetapi seorang berasal dari Pontianak dan yang seorang lagi berasal dari Sarawak. Kedua-dua nama orang tuanya juga berbeza, yang berasal dari Pontianak ayahnya bernama Syihabuddin, sedang yang berasal dari Sarawak ayahnya bernama Abdul Wahhab. Kedua-dua ulama yang bernama Syeikh Utsman yang berasal dari Borneo/Kalimantan itu hidup sezaman dan sama-sama terkenal.

Pendidikan

Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani mendapat pendidikan awal dari lingkungan keluarga sendiri dan selanjutnya belajar kepada beberapa orang ulama di Pontianak. Di Pontianak pada zaman beliau masih kanak-kanak memang ramai ulama bangsa Arab terutama keturunan Saiyid.

Bahasa Arab komunikasi sangat mudah diperoleh pada zaman itu kerana beberapa kampung di sekitar Istana Sultan Pontianak, terutama Kampung Arab dalam pergaulan lebih banyak menggunakan bahasa Arab jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa selainnya. Jadi Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani seorang yang fasih menggunakan bahasa Arab. Pendidikannya yang terakhir di Mekah, di antara gurunya ialah Saiyid Muhammad Shalih bin Abdur Rahman az-Zawawi (lahir 1246 H/ 1830 M, wafat 1308 H/1890 M), Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani, Saiyid 'Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (lahir 1230 H/1814 M, wafat 1315 H/1898 M) dan ramai lagi.

Syeikh Abdul Hamid ad-Daghistani asy-Syarwani adalah ulama besar dalam Mazhab Syafie di Mekah, beliau yang tersebutlah yang menulis Hasyiyah Syarh at-Tuhfah Syeikh Ibni Hajar. Salah seorang anak beliau ialah Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid ad-Daghistani asy-Syarwani wafat di Pontianak pada 20 Jamadilakhir 1314 H, dimakamkan di Perkuburan Al-Marhum Pangeran Bendahara Syarif Ahmad Al-Qadri Pontianak. Ada pun Saiyid Abdullah az-Zawawi juga seorang ulama besar, Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Beliau berhijrah ke dunia Melayu, mula-mula ke Riau dan akhirnya menjadi Mufti di kerajaan Pontianak.

Tidak kurang hebat dan penting ulama kita dunia Melayu yang disebut oleh Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani yang beliau nyatakan pada halaman depan karyanya Tajul 'Arus, katanya, “Ini kitab karangan Syeikh Tajuddin bin Athaullah Askandari hamba gantikan lafaz Arabnya dengan lafaz Melayu. Sa-nya hamba tashhih (disahkan) kepada guru hamba Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ...”

Oleh sebab tahun lahir mahupun catatan tahun Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani mulai belajar di Mekah belum diketahui maka agak sukar menjejaki teman-teman yang seangkatan beliau yang sama-sama belajar kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Walau bagaimana pun saya berhasil menemui sepucuk surat yang beliau tulis di Mekah, pada hari Khamis, bulan Zulhijjah 1296 H bererti pada tarikh tersebut beliau telah berada di Mekah. Surat dari beliau itu ditujukan kepada Haji Sulaiman bin Haji Adam di negeri Sanggau, Kalimantan Barat.

Surat yang ditulis di Mekah bulan Zulhijjah 1296 H telah mendahului semua karya beliau yang dimulai dengan Tajul 'Arus, yang diselesaikan pada 24 Ramadan 1304 H. Karya terakhir ialah Fat-hul Mutafakkirin, diselesaikan 16 Rejab 1324 H, di Taif. Dari tarikh yang tersebut kita dapat membanding dengan kemunculan ulama yang berasal dari Pontianak yang lainnya, yang sezaman dengan beliau, kemungkinan peringkat murid beliau, bukan sebagai sahabat. Ulama Pontianak yang terkenal yang dianggap peringkat murid Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani ialah Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani, karyanya yang terawal ditulis tahun 1316 H dan karya terakhir ditulis tahun 1321 H.

Penulisan

Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani adalah satu-satunya ulama Pontianak yang paling banyak karyanya yang tersebar di seluruh dunia Melayu, jika dibandingkan dengan ulama Pontianak yang lainnya. Bahkan beberapa judul di antaranya masih diajar di beberapa pengajian pondok tradisional dunia Melayu. Di bawah ini saya senaraikan 11 judul karangan beliau yang telah dijumpai iaitu;

1. Tajul 'Arus, diselesaikan 24 Ramadan 1304 H. Kandungannya mengenai tasawuf, merupakan terjemahan dari kitab At-Tanwir fi Isqathit Tadbir karangan Syeikh Ibnu Athaullah as-Sakandari. Terdapat banyak edisi cetakan di antaranya oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1358 H/1939 M. Ditashhih oleh gurunya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani.

2. Fat-hul Mekah, diselesaikan 1310 H. Kandungan mengenai sejarah Nabi Muhammad s.a.w. bersama sahabat-sahabatnya dapat menaklukkan kota Mekah. Hanya terdapat satu edisi cetakan oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 17 Safar 1311 H. Ditashhih oleh Syeikh Abdur Rahman Gudang bin Syeikh Muhammad Ali bin Syeikh Ismail al-Fathani.

3. Tanwirul Qulub fi Isqati Tadbiril 'Uyub, diselesaikan 12 Sya'ban 1311 H. Kandungan mengenai tasawuf, merupakan terjemahan dari kitab At-Tanwir fi Isqatit Tadbir karangan Syeikh Ibnu Athaullah as-Sakandari. Masih diajarkan di beberapa pondok pengajian tradisional. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 15 Ramadan 1311 H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir, Sya'ban, 1343 H. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1353 H/1934 M. Cetakan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Abdullah bin Ibrahim Kedah, juga terdapat tashhihan Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi al-Azhari.

4. Risalah Tafsir Surah Yasin, diselesaikan 12 Rabiulakhir 1312 H, di Mekah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah Mekah, 1330 H. Kandungan merupakan terjemahan dan tafsir surah Yasin yang dipetik daripada Tafsir Jamal dan Tafsir Jalalain. Risalah Tafsir Surah Yasin ini adalah penting, kerana banyak isu semasa dalam masyarakat sekarang, ada golongan yang membidaahkan membaca surah Yasin, terjawab dalam kitab tersebut. Sebagai contoh yang dibidaahkan, bahawa bidaah membaca surah Yasin malam Jumaat. Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani menulis hadis lengkap dengan lafaz Arabnya, lalu beliau terjemah, “Barang siapa membaca ia akan surah Yasin pada malam Jumaat, nescaya ber-Subuh-Subuh ia diampun baginya [oleh] Allah.”

5. Ashal Khutbah, tidak diketahui tarikh selesai penulisan kerana beberapa halaman bahagian akhir belum ditemui. Kandungan membicarakan berbagai-bagai bentuk khutbah yang ditulis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan maknanya dalam bahasa Melayu. Tebal (halaman yang dijumpai) 318 halaman. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1314 H.

6. Judul sebenar belum diketahui kerana hanya dijumpai mulai halaman sembilan hingga halaman akhir, iaitu halaman 16. Pada halaman akhir terdapat nama Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani sebagai pengarangnya. Diselesaikan pada hari Ahad, 19 Syaaban 1317 H, di Mekah. Kandungan membicarakan permasalahan ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah.

7. Fadhilat Mekah Dan Adab Ziarah Madinah Dan Fadhilat Negeri Thaif, diselesaikan 30 Rabiulawal 1319 H. Kandungan menceritakan keadaan Mekah, Madinah dan Thaif. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al- Kainah, Mekah, 1319 H.

8. Nurul Anwar, diselesaikan 16 Rejab 1324 H. Kandungan membicarakan peperangan Nabi Muhammad s.a.w. sesudah hijrah, peperangan Saiyidina Ali sesudah menjadi khalifah Islam, dan lain-lain. Rujukan utama penyusunan kitab ini ialah Nurul Abshar. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah Mekah, 1324 H

9. Fat-hul Mutafakkirin Supaya Bertempat Iman dan Yaqin, diselesaikan 16 Rejab 1324 H, di Taif. Kandungan membicarakan tafsir beberapa ayat al-Quran yang bersangkutan dengan tasawuf. Dipetik dari karya Saiyid Ahmad Zaini Dahlan daripada hadis Jami'us Shaghir as-Suyuthi. Cetakan yang pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 24 Ramadan 1324 H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir, Shafar 1349 H. Cetakan yang pertama ditashhih oleh pengarangnya sendiri. Cetakan lanjutan ditashhih oleh Syeikh Ahmad Sa'ad al-Filfulani dan Syeikh Abdullah Ibrahim al-Qad-hi (Kedah).

10. Risalah Bergantung Maknanya Di Bawahnya Maulid al-Barzanji, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan merupakan Kitab Barzanji bergantung makna dalam bahasa Melayu. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah al-Mahmiyah, 1324 H.

11. Irsyadul 'Ibad, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan merupakan terjemahan hadis Nabi s.a.w., petikan dari kitab Munabbihatul Qulub. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 13 Syawal 1324 H

Haji Ismail Mundu Mufti Kerajaan Kubu  

Posted by mfrstudio

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


SEBUAH salasilah yang saya peroleh di Pontianak, Kalimantan Barat ada menyatakan bahawa Haji Utsman (Daeng Pagalak) datang ke Pontianak bersama seorang anaknya, Nakhoda Tuzu, dari negeri Bugis. Anak Haji Utsman (Daeng Pagalak) ada enam orang. Anak yang ketiga bernama Haji Abdul Karim. Haji Abdul Karim memperoleh anak laki-laki empat orang. Anaknya yang sulung bernama Haji Ismail iaitu ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini.

Gelaran beliau yang selalu disebut-sebut oleh masyarakat ialah Mufti Haji Ismail Mundu atau Mufti Kubu. Anak Haji Abdul Karim bin Haji Utsman yang kedua bernama Haji Umar. Anak Haji Umar bernama Haji Abdul Hamid. Anak Haji Abdul Hamid ialah Ambok Pasir. Keturunan ini pada satu ketika dulu sangat terkenal di Singapura kerana sering menghadapi pergaduhan dengan golongan samseng Cina di Singapura.

Haji Umar berkahwin sebanyak 12 kali. Daripada perkahwinannya dengan Halimah Ragiak, beliau memperoleh dua orang anak. Anaknya yang bernama Hajah Hafshah dikahwinkan dengan Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi. Anak Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah Saiyid Yusuf az-Zawawi yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Terengganu.

Haji Ismail bin Haji Abdul Karim mendapat pendidikan awal daripada golongan ulama Bugis yang ramai tinggal di Kalimantan Barat. Kitab yang dipelajari adalah dalam bahasa Arab dan kitab tulisan Bugis dalam bahasa Bugis. Beliau juga belajar dengan ulama bangsa Melayu yang menggunakan kata pengantar dalam bahasa Melayu. Pendidikannya yang terakhir di Mekah. Antara sahabatnya ketika belajar di Mekah termasuklah Tok Kenali.

Baik sewaktu tinggal di Mekah mahupun setelah pulang ke dunia Melayu, Haji Ismail bin Haji Abdul Karim selalu mendekati para ulama. Apabila berdampingan dengan ulama-ulama yang setaraf dengannya, bahkan yang kurang ilmu daripadanya, beliau lebih suka mendengar apa yang dibicarakan orang. Beliau selalu mengelak daripada menonjolkan diri. Prinsipnya lebih baik diam daripada banyak bercakap menyalahkan orang. Lebih baik berzikir secara dawam (berkekalan) daripada bercakap sesuatu yang tiada bermanfaat.

Ilmu adalah nur (cahaya) kepada Haji Ismail. Ilmu adalah suatu yang semerbak mewangi. Cahaya dan wangian pasti akan lahir jua, kedua-duanya tiada kekal dalam pertapaannya. Oleh itu Haji Ismail Mundu walaupun beliau tidak suka menonjolkan diri namun ia akan tertonjol, terangkat tinggi dengan sendirinya. Setelah beliau pulang dari Mekah, beliau dilantik menjadi Mufti di Kerajaan Kubu, iaitu sebuah kerajaan kecil dalam takluk kerajaan Pontianak, Kalimantan Barat.

Kemasyhuran

Pada masa yang sama di Pontianak ada tiga ulama besar yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Haji Ismail bin Abdul Lathif (lebih dikenali dengan sebut Haji Ismail Jabal) yang pangkatnya adalah Penasihat Agama Kerajaan Pontianak dan yang seorang lagi ialah Haji Ismail bin Abdul Majid yang berasal dari Kelantan. Haji Ismail bin Abdul Majid Kelantan kemudian dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak. Haji Ismail Kelantan adalah ulama yang termuda antara mereka.

Selain tiga orang ulama yang tersebut, pada zaman yang sama, berdasarkan surat tarikh Pontianak, hari Khamis, 13 Februari 1936 H bersamaan 20 Zulhijjah 1354 M, tokoh-tokoh tertinggi yang menangani urusan Islam dalam kerajaan Pontianak dan kerajaan-kerajaan kecil di bawah takluknya ada yang dinamakan Seri Paduka Hakim iaitu Seri Paduka Yang Maha Mulia Duli Tuanku Sultan Saiyid asy-Syarif Muhammad al-Qadri. Di bawahnya ada Sekretaris Luar Biasa yang disandang oleh Paduka Pangeran Adi Pati Anom Seri Maharaja Syarif Utsman al-Qadri.

Selain itu ada yang dinamakan Naibul Hakim yang disandang oleh Syarif Abdullah bin Ahmad Saqaf. Di bawahnya ada jawatan yang dinamakan Lid Tiga Orang. Ia disandang oleh Syarif Abdullah bin Ahmad Saqaf, Syarif Utsman bin Pangeran Aria dan Syeikh Muhammad bin Abdullah Habsyi.

Terakhir sekali dinamakan Adviseur Penasihat. Yang menyandang kedudukan ini ada dua orang iaitu Saiyid Muhammad bin Shalih bin Syihab dan Haji Ismail bin Haji Abdul Lathif. Memperhatikan susunan kedudukan ini Haji Ismail bin Haji Abdul Lathif ialah sahabat terdekat Haji Ismail bin Abdul Karim, Mufti Kubu, yang bukan daripada golongan bangsa ‘Saiyid’.

Haji Ismail bin Abdul Karim meninggal dunia pada hari Khamis, 15 Jamadilakhir 1376 H/16 Januari 1957 M. Sungguhpun beliau telah meninggal dunia pada tahun itu namun hingga tahun 1980-an nama Haji Ismail Mundu masih sering disebut-sebut oleh masyarakat Pontianak terutama orang Melayu yang bercampur darah dengan Bugis.

Sewaktu saya merantau di Pontianak selama bertahun-tahun saya sempat bergaul dengan dua orang murid yang rapat dengannya, yang mempusakai ilmu daripada ulama besar keturunan Bugis itu. Muridnya yang pertama ialah Haji Ibrahim Bugis yang setiap hari, siang ataupun malam, didatangi oleh masyarakat termasuk pemimpin tertinggi di Pontianak pada ketika itu. Yang seorang lagi ialah seorang korporat, namanya dipopularkan dengan sebutan Haji Ahmad Tata Pantas.

Saya cuba mengorek keunggulan dan kewibawaan peribadi ulama ini, apakah yang menyebabkan beliau menjadi ulama yang paling banyak disebut namanya, sedangkan ulama Pontianak lain setelah meninggal dunia namanya kurang dipercakapkan. Rahsia kepopularan itu sangat panjang untuk diceritakan, tiada cukup ruangan yang disediakan keperluan artikel ini. Walau bagaimanapun saya simpulkan saja bahawa Mufti Haji Ismail Mundu adalah seorang ulama yang kuat mengerjakan amalan-amalan bercorak sembahyang sunat, zikir, selawat dan pelbagai wirid.

Golongan peringkat mana pun yang memerlukan beliau untuk menyelesaikan sesuatu masalah peribadi atau untuk kepentingan umum semuanya dilayani dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan sesuatu. Tiada masalah yang tiada dapat diatasi, walau sebesar gunung, walau seberat apa timbangan sekalipun. Haji Ismail Mundu mengutamakan resipi unggul dan ampuh, iaitu menganjurkan seseorang yang bermasalah terlebih dulu mengucap istighfar (minta pengampunan kepada Allah) sebanyak yang mungkin atau dalam jumlah yang tertentu.

Sesudah itu beliau menyuruh mereka beramal sendiri dengan amalan-amalan wirid yang pernah dikerjakan oleh Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, para Wali Allah dan amalan para ulama. Apabila cukup syarat mengerjakan amal dan ikhlas hati, insya-Allah doa selalu dikabulkan oleh Allah dan semua masalah yang sedang dihadapi dapat diatasi.

Antara karya Haji Ismail bin Haji Abdul Karim yang dihasilkannya adalah:

1. Kumpulan Wirid, diselesaikan pada 1 Muharam 1349 H. Kandungannya membicarakan wirid untuk keselamatan dunia dan akhirat. Wirid keselamatan yang dibangsakan kepada duniawi adalah untuk penjagaan diri daripada pelbagai bentuk dan corak permusuhan sesama makhluk Allah. Selain itu ia juga membantu kelancaran rezeki dalam urusan penghidupan. Walau bagaimana buruk kemelesetan ekonomi, seseorang yang dibekalkan dengan wirid-wirid tertentu tiada akan berasa takut untuk berhadapan dengannya.

Naskhah

Dalam naskhah tersebut dinyatakan apabila hendak beramal terlebih dulu perlu dibaca al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Selanjutnya dibaca al-Fatihah kepada zuriat Nabi Muhammad s.a.w.. Yang disebut ialah Habib Ahmad bin Isa al-Muhajir, dan Habib Muhammad bin Ali Ba Alawi. Naskhah yang ada pada saya tidak terdapat nama percetakan, tetapi pada halaman terakhir terdapat cop mohor beliau. Sehubungan dengan risalah ini ada lagi yang dinamakan Risalah Amalan. Risalah ini masih merupakan manuskrip. Manuskrip yang asli ada dalam simpanan saya yang saya peroleh daripada murid beliau, Haji Ahmad Tata Pantas, Pontianak.

2. Kitab Mukhtashar ‘Aqaid, diselesaikan di Teluk Pak Kedai, hari Jumaat, pukul 5 petang, 18 Rejab 1351 H. Kandungannya merupakan pelajaran ilmu akidah untuk hafalan kanak-kanak. Dicetak oleh Annashar & Co, Pontianak.

3. Jadwal Hukmin Nikah atau Jadwal Nikah Soal-Jawab, diselesaikan hari Selasa, 15 Muharam 1355 H. Ini keterangan yang dicetak oleh Kantor Tulis dan Toko Kitab as-Saiyid Ali Al-‘Aidrus, Kramat No. 38 Batavia Centrum. Tetapi pada mukadimah cetakan Mathba’ah al-Islamiyah, Victoria Street, Singapura, Mufti Haji Ismail Mundu menulis, “Maka tatkala adalah tahun seribu tiga ratus lima puluh tujuh daripada hijrah Nabi... (1357 H/1938 M, pen:) bergeraklah hati saya dan cenderunglah fikiran saya bahawa hendak memungut akan beberapa masalah soal jawab pada bicara hukum nikah....”

Risalah ini diberi kata pendahuluan oleh Muhammad Ahmad az-Zawawi, kata akuan oleh Mufti Kerajaan Johor ‘Alwi bin Thahir bin ‘Abdullah al-Haddad al-‘Alawi dan kata pujian oleh Ketua Kadi-Kadi Singapura, ‘Abbas bin Muhammad Thaha, Pejabat Qadhil Qudhah, Singapura, 7 Rabi’uts Tsani 1358 H. Kandungannya disebut oleh Muhammad Ahmad az-Zawawi pada kata pendahuluannya yang bertindak bagi kewarisan Mufti Haji Ismail Mundu, bahawa “diterbitkan kitab ini supaya menjadi pedoman bagi sesiapa yang hendak mengetahui hukum-hukum agama dalam perkara nikah, talak, rujuk, fasakh, edah, dan lain-lain. Sekira-kira memberi faham dan faedah soal jawab dan jadual yang tersusun dengan peraturan yang mudah dengan tuturan bahasa Melayu, supaya diketahui dengan tiada guru buat dibaca oleh penuntut penuntut ilmu dan yang sudah kahwin. Dan juga bagi mereka yang akan kahwin laki-laki dan perempuan. Dan kitab ini telah ditashhihkan dan diakui oleh Tuan Mufti Kerajaan Johor dan pujian oleh Ketua Kadi-Kadi Singapura.”

Sungguhpun Risalah Jadwal Nikah Soal-Jawab merupakan risalah yang nipis, namun terdapat juga pemikiran beliau tentang isu semasa berhubung kedudukan sosial masyarakat tentang hukum kufu. Pada zaman yang bercorak kebendaan seperti sekarang ini ramai orang membicarakan bahawa orang kaya adalah tidak kufu kahwin dengan orang miskin.

Haji Ismail Mundu menyatakan hujah sebaliknya. Tulis beliau, “Maka nyatalah daripadanya bahawasa kaya itu tiada ia dibilangkan daripada segala perkara kufu. Oleh kerana harta itu pergi datang, tiada mengambil kemegahan dengan dia segala mereka yang mempunyai perangai dan mempunyai mata hati. Maka oleh kerana inilah sekufu laki-laki yang papa dengan perempuan yang kaya.”

Masyarakat yang umum kebanyakannya hanya mengetahui dua jenis wali nikah, iaitu wali aqrab dan wali hakim, namun dalam risalah ini juga dibicarakan ‘wali tahkim’. Wali tahkim adalah tidak sama dengan wali hakim. Mufti Haji Ismail Mundu menyebut bahawa syarat harus bertahkim ada tiga perkara iaitu pertama, ketiadaan wali; kedua, ketiadaan hakim (maksudnya wali hakim) di negeri itu; dan ketiga, laki-laki yang dijadikan wali tahkim itu adil.

Selanjutnya Mufti Haji Ismail Mundu menambah keterangannya bahawa “tiada wajib perempuan dan laki-laki yang berkehendak nikah itu hadir kedua-duanya di hadapan orang yang adil itu. Ini atas qaul Ibnu Hajar dalam Tuhfah....”

Haji Wan Muhammad Al-Kalantani Mufti Kelantan yang ke-IV  

Posted by mfrstudio

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


SUKAR juga untuk memastikan siapakah ulama yang bernama Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan sama ada seorang atau pun dalam masa yang sama terdapat dua orang.

Diriwayatkan bahawa yang seorang dikatakan lahir di Kota Bharu, Kelantan, pada malam Jumaat, 5 Rejab 1287 H/1 Oktober 1870 M. Yang seorang lagi sekurang-kurangnya terdapat tiga buah salinan risalah. Di antaranya ialah salinan Risalah Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Thariqat Syathariyah.

Pada akhir salinan beliau menulis, “Tammat al-kalam bil khair atas tangan faqir al-haqir Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan, Kampung Laut di dalam Biladillah al-Haram, Hijrah an-Nabiyi sanah 1294 H.” Sekiranya yang dimaksudkan adalah orang yang sama, maka jelas penyalinan yang dilakukan adalah sewaktu beliau berusia sekitar tujuh tahun sahaja. Ini adalah sangat meragukan, tetapi walau bagaimana pun bukanlah mustahil. Kemungkinan juga sewaktu beliau menyalin itu umurnya lebih dari tujuh tahun sekiranya catatan tahun kelahiran yang disebutkan di atas terjadi satu kekeliruan dan beliau lahir jauh lebih awal dari tahun tersebut.

Oleh sebab sukar mentahqiqkannya, tiada siapa yang dapat dirujuk buat ketika ini, maka sementara waktu saya anggap saja yang bernama Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan adalah seorang saja. Sekiranya di belakang hari terdapat data dan fakta bahawa terdapat dua orang yang berlainan maka tulisan ini boleh dipinda kembali.

Nama lengkapnya ialah Wan Muhammad bin Abdus Shamad al-Kalantani. Yang dimaksudkan dengan Abdus Shamad al-Kalantani di sini iaitu Syeikh Wan Abdus Shamad bin Wan Muhammad Shalih al-Kalantani. Beliau pernah digelar dengan “Tuan Kutan” atau digelar juga dengan “Tuan Tabal”. Mengenai beliau (Tuan Tabal) pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 4 Oktober 2004, Seksyen 3, hlm. 10. Haji Wan Muhammad pula adalah anak saudara kepada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani yang pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 27 September 2004, Seksyen 3, hlm. 9.

Ibu Haji Wan Muhammad bernama Wan Kaltsum adalah kakak kepada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Kedua-duanya adalah anak kepada Haji Wan Abdur Rahman @ Tok Semian (Jurutulis Sultan Muhammad II). Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal al-Kalantani lahir di Kota Bharu, Kelantan, pada malam Jumaat, 5 Rejab 1287 H/1 Oktober 1870 M. Wafat juga di Kota Bharu, Kelantan, pada malam Rabu, 27 Rabiulawal 1339 H/8 Disember 1920 M.

THARIQAT

Wan Muhammad mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri. Kemudian ayahnya membawanya ke Mekah ketika dia berusia sekitar 11 tahun pada 1298 H, demikianlah yang disebut oleh Ismail Wang dalam majalah Pengasuh. Tetapi dalam karya yang dinyatakan salinan Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan yang tersebut di atas bahawa penyalinan dilakukan di Biladullah al-Haram, yang maksudnya Mekah, pada 1294 H. Jadi pada 1294 H, beliau telah berada di Mekah. Tentang salinan naskhah Thariqat Syathariyah, beliau menyebut Al-Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan ditalqin atau dibai’ah oleh Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ditalqin atau dibaiah oleh Syeikh ‘Ali bin Ishaq al-Fathani. Syeikh ‘Ali bin Ishaq al-Fathani ditalqin atau dibai’ah oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dan seterusnya kepada yang lebih ke atas.

Ada pun pada bahagian Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan tidak menyebut nama gurunya, melainkan langsung saja menyebut salasilah mulai dari Syeikh Ahmad Khathib Sambas, tulisannya, “Adapun salasilah dua tarekat ini, maka terhimpun pada Salasilah Qadiriyah, iaitu Syeikh Ahmad Khathib bin al-Marhum Abdul Ghaffar al-Jawi Sambas. Ia mengambil daripada Saiyid Syamsuddin ...”, dan seterusnya hingga ke atas. Kemungkinan Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan sempat menerima tarekat itu langsung kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, kerana ulama Sambas tersebut adalah seangkatan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani.

Sebagaimana ulama-ulama dunia Melayu lainnya terutama orang-orang yang berasal dari Kelantan demikian halnya Haji Wan Muhammad Kelantan mengutamakan belajar kepada ulama-ulama Melayu yang terkenal terutama tiga orang, ialah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Wan Muhammad Kelantan lebih mengutamakan ketiga-tiga ulama tersebut berbanding dengan ulama lainnya lebih-lebih yang ada pertalian kekeluargaan yang sangat dekat dengannya.

Syeikh Wan Ali Kutan adalah ayah saudaranya, iaitu adik kepada ibunya Wan Kaltsum. Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani pula adalah berbiras dengan Syeikh Wan Ali Kutan, kerana terjadi perkahwinan dua orang anak antara kedua-duanya. Syeikh Ahmad al-Fathani pula adalah anak saudara isteri Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Ahmad al-Fathani pula adalah anak saudara kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Hubungan kekeluargaan ulama ini saya sentuh sambil lalu saja, kerana jika dihuraikan terlalu panjang dan sangat banyak kaitannya dengan ulama- ulama yang lainnya.

Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Ahmad al-Fathani ketiga-tiga mereka juga adalah murid dan menerima talqin dan baiah Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, demikian halnya dengan Tuan Tabal yang juga pernah menerima thariqat yang sama daripada ulama Patani itu. Pengakuan Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal menerima Thariqat Syathariyah dalam tahun 1294 H, seperti telah disebutkan, adalah ketika beliau bersama-sama ayahnya, Tuan Tabal, menziarahi Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau inilah yang dikatakan sebagai “Khalifah Pada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani”.

Selain mengamal Thariqat Syathariyah, Haji Wan Muhammad Kelantan, ayahnya Tuan Tabal dan saudaranya Haji Wan Musa juga beramal dengan Tarekat Ahmadiyah Idrisiyah yang berasal daripada Syeikh Ahmad bin Idris.

Demikian Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani juga beramal dengan Tarekat Ahmadiyah Idrisiyah. Diriwayatkan pula bahawa Haji Wan Muhammad Kelantan juga mengamalkan “Hizib al-Bahr”. Dapat dipastikan Hizib al-Bahr beliau terima ijazah dari Syeikh Wan Ali Kutan yang sanadnya bersambung hinggalah yang pertama mengamalkannya, iaitu Syeikh Abi Hasan asy-Syazili. Mengenai Hizib al-Bahr, sekali gus Salasilah Thariqat Syaziliyah, yang musalsal (bersambung dari seorang kepada seorang) hingga sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. ada dibicarakan oleh Syeikh Wan Ali Kutan dalam karya beliau Lum'ah al-Aurad.

Sungguhpun Haji Wan Muhammad Kelantan lebih banyak belajar dan mengutamakan golongan keluarga yang terdekat, bukanlah bererti beliau tertutup belajar kepada ulama-ulama lainnya. Selama tinggal di Mekah, Haji Wan Muhammad Kelantan sering mengikuti ayahnya Tuan Tabal pergi belajar kepada ulama-ulama selain yang tersebut itu, termasuk juga kepada ulama-ulama bangsa Arab sendiri seperti Saiyid Abi Bakri Syatha, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, dan lain-lain.

PELBAGAI PELANTIKAN

Ada dua orang anak Tuan Tabal yang pernah menjadi Mufti Kelantan. Mufti Kelantan yang ketiga ialah Haji Wan Musa bin Tuan Tabal yang dilantik pada 10 Rejab 1327 H/27 Julai 1909 M. Selanjutnya Mufti Kelantan yang keempat ialah Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal dilantik pada 22 Syawal 1334 H/21 Ogos 1916 M. Haji Wan Musa bin Tuan Tabal adalah adik kepada Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal tetapi Haji Wan Musa dilantik menjadi Mufti Kelantan lebih dahulu daripada abangnya Haji Wan Muhammad.

Jika kita teliti pemikiran Haji Wan Muhammad dalam pegangan Islam tidak ada perbezaan dengan semua Mufti Kelantan yang terdahulu, kecuali yang berbeza adalah dengan adiknya sendiri Haji Wan Musa. Haji Wan Musa membawa pemikiran cara baru, yang dinamakan “Kaum Muda”. Sewaktu terjadi pertikaian hangat antara “Kaum Tua” dan “Kaum Muda” di Kelantan dalam tahun 1937 M Haji Wan Muhammad telah lama meninggal dunia, jadi beliau tidak terlibat dalam perkara-perkara khilafiyah yang ditimbulkan oleh adiknya, Haji Wan Musa itu.

Sebelum pelantikan menjadi Mufti Kelantan Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal pernah dilantik oleh Sultan Mansur menjadi Imam Masjid Kota Bharu, pelantikan dijalankan pada 15 Jamadilakhir 1314 H. Pada 30 Muharam 1334 H/7 Disember 1915 M Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal dilantik menjadi ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Setelah itu dilantik pula menjadi Hakim Mahkamah Syariah Kota Bharu, pada 26 Safar 1334 H/2 Januari 1916 M. Beberapa bulan selepas tarikh tersebut barulah beliau dilantik menjadi Mufti Kelantan. Selain pelantikan-pelantikan yang tersebut Haji Wan Muhammad juga pernah dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama Kelantan pada 27 Mei 1918 M. Dilantik pula menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan oleh Sutan Muhammad IV, pada 27 September 1919 M.

Mengenang perjuangan beliau yang sangat gigih dan keberhasilannya yang demikian menyerlah dan gemilang, Sultan Muhammad IV telah mengurniakan kepada beliau Bintang Seri Mahkota Kelantan (S.M.K). Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal adalah Mufti Kelantan yang pertama memperoleh kurnia bintang yang tersebut. Dalam catatan sejarah perkembangan pesat Islam dalam pelbagai corak aktiviti di Kelantan adalah pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad IV, yang paling gigih berjuang sekurang-kurangnya ada empat orang ulama, ialah Tok Kenali, Datuk Nik Mahmud (Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan), Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id (Datuk Laksamana Kelantan) dan Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal (Mufti Kelantan).

Dalam catatan sejarah pula keempat-empat mereka selain mendapat pendidikan dari ramai guru, namun tidak dapat dinafikan yang bercorak pengkaderan khusus, yang membolehkan mereka mempunyai pelbagai kepandaian, pemikiran luas dan berpandangan jauh ke masa hadapan adalah diperoleh dari Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Kemungkinan kerana kesibukan dalam pelbagai tugas jabatan yang disandang oleh Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal hingga kini belum terdapat sesuatu karangan yang dihasilkan oleh beliau. Demikian juga kemungkinan juga beliau tidak sempat mendirikan institusi pendidikan sendiri, hingga kini belum diketahui nama murid yang pernah mendapat pendidikan dari beliau secara langsung. Ini bukan memperkecilkan ulama dan tokoh besar yang dibicarakan, tetapi hanya sekadar membandingkan dengan ayah beliau sendiri Tuan Tabal, bahawa Tuan Tabal menghasilkan beberapa buah karangan, di antara karangan Tuan Tabal ada yang masih diajar dan dirujuk hingga sekarang. Murid-murid Tuan Tabal pula sempat dicatat oleh peminat-peminat sejarah ulama.

Syeikh Abdul Wahhab Siantan mufti dan guru kerajaan Riau-Lingga  

Posted by mfrstudio

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


APABILA kita menoleh kebelakang dalam membicarakan ulama-ulama abad ke-18, kebanyakannya berdasarkan tarikh kelahiran ataupun hasil penulisan beberapa orang ulama dunia Melayu yang hidup pada zaman yang sama. Antara yang dapat dikesan tarikh lahir dan wafat ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, lahir pada 15 Safar 1122 H/9 Mac 1710 M, wafat 6 Syawal 1227 H/13 Oktober 1812 M.

Ini bererti ulama yang berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan tersebut lebih muda sekitar setahun lebih sedikit jika dibandingkan dengan Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan yang lahir pada tahun 1120 H/1708 M.

Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Ibnu Syeikh Abdul Mu’thi Ibnu Syeikh Muhammad Shalih, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Maduri dapat dihubungkan dengan tahun-tahun kehidupan Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan.

Pelbagai sumber riwayat juga dapat dibandingkan dengan tahun kemunculan penulisan yang terdapat pada kitab-kitab yang mereka hasilkan.

Nampaknya yang termuda antara mereka ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Sewaktu Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan meninggal dunia pada tahun 1239 H/1824 M, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani telah muncul sebagai seorang ulama besar yang terkenal dan sebelum tahun tersebut ulama yang berasal dari Patani itu telah menghasilkan beberapa karangan.

Walau bagaimanapun, memperhatikan tahun kelahiran Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan pada tahun yang tersebut diperkirakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seangkatan atau sebaya dengan Syeikh Abdullah Siantan, iaitu salah seorang anak Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan. Syeikh Abdullah bin Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan juga adalah seorang ulama besar yang menghasilkan penulisan.

Pada masa yang sama Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan dan Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Maduri memainkan peranan yang sangat penting dalam istana kerajaan Riau-Lingga. Ada riwayat yang pasti bahawa Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Maduri pernah membai’ah Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah kepada Raja Ali bin Daeng Kemboja, Yang Dipertuan Muda Riau ke-V dan tokoh-tokoh Riau-Lingga lainnya. Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah pula adalah thariqat yang diamalkan oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan juga Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan.

Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan, ulama yang berasal dari Kepulauan Siantan yang terletak di Laut China Selatan yang diriwayatkan ini lahir pada tahun 1120 H/1708 M, dan wafat tahun 1239 H/1824 M pada usia 119 tahun, menurut hitungan tahun Hijrah atau 116 tahun menurut hitungan tahun Masihi.

Hampir semua ulama yang tersebut di atas dirahmati oleh Allah dengan berumur panjang, melewati 100 tahun. Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari wafat dalam usia lebih kurang 105 tahun, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang dipercayai hilang dalam Perang Kedah dan Patani melawan Siam pada tahun 1244 H/1828 M juga melebihi usia 100 tahun.

Dari satu segi ada sedikit persamaan riwayat antara ulama yang berasal dari Banjar dan Siantan itu setelah kedua-dua pulang ke tanah air. Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dilantik sebagai Mufti Kerajaan Banjar dan Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan dilantik menjadi Mufti Kerajaan Riau-Lingga pada masa pemerintahan Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-6 (1805-1831 M).

Pada masa pemerintahan Yang Dipertuan Muda Raja Ja’far, Mufti Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan membina sebuah Masjid Jami’ Penyengat Inderasakti yang diperbuat daripada putih telur yang sangat terkenal itu. Dengan terbinanya masjid tersebut bererti dakwah dan pendidikan Islam di kerajaan Riau-Lingga tambah lebih menyerlah dan pada masa yang sama para ulama ramai yang datang.

Maklumat terawal tentang Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan adalah berdasarkan beberapa catatan dan surat Raja Ali Haji yang berbunyi: “... iaitu namanya Tuan Haji Abdul Wahhab, satu ulama yang besar lagi Mufti di dalam Riau-Lingga, umurnya seratus enam belas tahun. Ada kuburnya di Pulau Penyengat, di atas bukit bersama-sama dengan kubur Habib Syaikh, kubur Marhum Teluk Ketapang....”

Murid-murid

Raja Ali Haji, pujangga Melayu yang sangat terkenal, pernah mengirim surat kepada pembesar Belanda bernama Von de Wall mengatakan bahawa Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan, Mufti Riau-Lingga, adalah guru kepada Yang Dipertuan Muda Raja Ja’far dan guru pula kepada orang tuanya Engku Haji Tua, iaitu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji. Sekitar empat tahun setelah Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan meninggal dunia, tepatnya pada tahun 1243 H/1827 M, Raja Haji Ahmad bin Raja Haji termasuk putera beliau Raja Ali Haji pergi ke Mekah menunaikan ibadah haji.

Sewaktu berada di Mekah, kedua-dua Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji sempat belajar dalam waktu yang pendek dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jika kita telusuri maklumat ini secara teliti dapat disimpulkan bahawa memang telah ada hubungan antara Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Penulisan

Penulisan yang diselenggarakan oleh Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan pada pandangan saya telah mendahului semua penulisan yang berasal dari Riau-Lingga, kerana dipercayai ketika Raja Haji Ahmad bin Raja Haji masih belajar dengan beliau, ulama Siantan itu telah menghasilkan karangan.

Raja Haji Ahmad bin Raja Haji telah mendahului penulisan yang dilakukan oleh anak beliau, Raja Ali Haji, yang terkenal itu. Oleh hal yang demikian pengaruh keilmuan Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan terutama dalam bidang karang-mengarang adalah sangat besar terhadap tokoh-tokoh yang berasal dari Riau-Lingga.

Surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall memberi gambaran bahawa ulama yang berasal dari Siantan itu telah menterjemahkan sebuah hikayat daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Raja Ali Haji menulis, “... Adalah asal hikayat bahasa Arab, diterjemahkan daripada bahasa Parsi. Yang membawanya Habib Syaikh bangsa Saqaf. Maka dimelayukan oleh guru ayah saya Engku Haji Tua, iaitu namanya Tuan Haji Abdul Wahhab....”

Selanjutnya karya yang tersebut mendapat perhatian Von de Wall. Raja Ali Haji sendiri telah menerima naskhah itu daripada pembesar Belanda itu. Raja Ali Haji menulis, “Syahdan adalah memaklumkan kepada tuan hal surat Golam yang tuan berikan kepada tangan saya hari itu, sudahlah saya periksa daripada awalnya hingga akhirnya.

“Maka saya dapat ralatnya ada kira-kira lima puluh dua tempat, ada yang tertinggal perkataan, ada yang salah perkataannya, ada yang diganti orang hurufnya dan bahasanya. Apa lagi yang tentang bahasa Arabnya, ada kira-kira saya yang tertinggal tukang atur kalimah itu, atau tukang membacanya, atau naskhahnya memang sudah dirosakkan orang atau diubah orang, wallahualam, tiadalah saya tahu. Akan tetapi jika dibetulkan kira-kira sepuluh hari boleh betul....”

Terjadi banyak kesalahan cetak dalam sesuatu karangan seperti yang disebut oleh Raja Ali Haji di atas sebenarnya bukan sahaja berlaku pada Hikayat Golam karya Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan tetapi juga pernah berlaku pada karya-karya lainnya. Pengalaman Raja Ali Haji dalam bidang tersebut juga pernah dinyatakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar. Dalam kitab itu beliau nyatakan tentang melaksanakan pentashhihan kitab Hidayah as-Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Raja Ali Haji ialah seorang tokoh yang sangat mengasihi pernaskhahan karya ulama Melayu, apatah lagi ulama yang dikasihinya seperti Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan. Oleh itu beliau nyatakan, “Syahdan yang saya terlalu dukacita melihatnya, sebab kerana hikayat itu keluarnya dari Riau Pulau Penyengat ini, dari dalam kota tempat kediaman saya serta ayah saya....”

Kata Raja Ali Haji seterusnya, “Maka sekarang ini hendak kita betulkan semuanya terlalu susah, sudah tercetak beberapa banyak, melainkan fikiran saya satu saja, yang betul tinggal kepada tuan, yang sahnya boleh taruh pada akhirnya.

“Inilah Hikayat Golam yang karangan Mufti Haji Abdul Wahhab guru Yang Dipertuan Muda Raja Ja'far serta segala saudaranya di dalam Riau Pulau Penyengat.

“Boleh kita cari naskhah asalnya dan tahun masa dia mengarang itu.

“Kemudian apabila sudah betul baharu kita suruh baca kepada satu orang, kita mendengarnya sama-sama kira-kira satu hari di dalam dua jam. Kira-kira empat lima hari habis hikayat itu. Demikianlah fikiran saya, jika tidak begitu, tentulah rosak memanjang karangan orang tua itu....”

Pandangan Raja Ali Haji di atas dapat kita fahami bahawa walaupun ketika itu adalah pada zaman pemerintahan Belanda, namun untuk menyelamatkan sesuatu naskhah karya kewarisan adalah sangat penting campur tangan pihak pemerintah. Sekarang kita telah merdeka, oleh itu pandangan Raja Ali Haji demi menyelamatkan karya Melayu, sebagai khazanah penting kewarisan bangsa Melayu, secara keseluruhannya perlu diperkukuh dan diperhebatkan.

Pentashhihan

Surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall, tarikh 29 Rejab 1283 H, pula dinyatakan, “... Istimewa pula yang saya senantiasa ketika harap juga akan pertolongan tuan atas saya, perkara pertama, menutup kemaluan (maksudnya: perasaan malu, pen:) saya daripada segala kitab-kitab karangan saya atau karangan ulama saya Haji Abdul Wahhab, yang sudah rosak perkataannya yang dicetak-cetak orang di dalam Betawi pada beberapa tempat. Jikalau tiada dibetulkan jadilah berpanjangan aib saya dan aib ulama saya itu.”

Kalimat Raja Ali Haji yang mengambil perhatian terhadap karya Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan di atas (surat tahun 1281 H dan 1283 H) dapat kita bandingkan dengan kenyataan Syeikh Ahmad al-Fathani ketika mentashhih Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani (tahun tashhih 1298 H).

Nampaknya Raja Ali Haji mengalami kegagalan memperkenal, menerbit dan menyebarluaskan karya Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan itu, tetapi Syeikh Ahmad al-Fathani ternyata mencapai keberhasilan yang besar kerana karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang pernah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itu masih tetap tersebar tiada henti-hentinya diterbitkan orang hingga sekarang ini.

Bahkan hampir semua kitab ulama yang seangkatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang pernah ditashhih dan diterbitkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani demikian juga masih berada di pasaran dan diajarkan orang. Sekiranya karya Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan yang disebut oleh Raja Ali Haji itu pernah ditangani oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan diterbitkan di Asia Barat seperti kitab-kitab lainnya tentu saja akan masih kekal ia di pasaran kitab sebagaimana kitab-kitab lainnya. Dipercayai karangan Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan itu tiada pernah sampai ke tangan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Tuan guru Abdul Hamid Besut anak murid Tuan Bendang Daya  

Posted by mfrstudio

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

TIDAK sedikit ulama silam dunia Melayu telah melahirkan tokoh yang menjadi ulama ataupun menjadi pemuka masyarakat hingga mencapai kedudukan pimpinan tertinggi pemerintahan negara. Seperti yang telah diriwayatkan dalam penulisan-penulisan saya yang lalu, sangat ramai pimpinan pemerintahan berketurunan ulama di Indonesia, Malaysia, bahkan juga termasuk di Thailand.

Sebagai contoh Dr. M. Hatta ialah cucu ulama Thariqat Naqsyabandiyah di Minangkabau. Beliau ialah pejuang kemerdekaan Indonesia dan menjadi wakil Presiden Indonesia yang pertama. Abdur Rahman Wahid yang merupakan anak dan cucu ulama pernah menjadi Presiden Indonesia.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, anak dan cucu ulama, adalah Perdana Menteri Malaysia sekarang. Dua orang Menteri Besar Terengganu yang terakhir, iaitu Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Datuk Idris Jusoh, kedua-duanya adalah keturunan ulama yang berpengaruh dalam masyarakat.

Yang hendak diperkenalkan pada kesempatan ini ialah datuk pada Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Terengganu sekarang. Nama lengkap datuknya berdasarkan tulisan beliau sendiri ialah Abdul Hamid bin Fadhlullah al-Basuti al-Falimbani. Yang dimaksudkan dengan ‘al-Basuti’ ialah Besut di Terengganu. Yang dimaksudkan dengan ‘al-Falimbani’ bukan Palembang di Sumatera Selatan, Indonesia tetapi adalah sebuah kampung dalam Besut di Terengganu.

Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut asal usulnya juga berasal dari Patani, Thailand kerana pada masa dulu ramai ulama Besut dan raja-rajanya adalah berasal dari Patani. Antara ulama Besut yang berasal dari Patani ialah Syeikh Wan Hasan bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani. Beliau ini setelah berhijrah ke Besut dan dikenali dengan nama Syeikh Wan Hasan Besut.

Antara Raja Besut yang sangat erat hubungan dengan Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani dan lain-lain ialah Tengku Long. Beberapa pucuk surat-menyurat antara Tengku Long, Raja Besut, dengan kedua-dua ulama yang berasal dari Patani di Mekah itu boleh dijadikan bukti hubungan erat kekeluargaan antara Patani dengan Besut.

Bahkan nama ‘Besut’ itu sendiri diberikan oleh ulama yang berhijrah ke negeri itu. Selain surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, dan Tengku Long, Raja Besut, rupa-rupanya dalam sebuah karya Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut, yang diberi judul Thariqah as-Salikin, beliau memperkukuhkan dan menyerlahkan hubungan kedua-dua negeri itu termasuk pertalian keilmuannya.

Berdasarkan tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut sendiri, dapat dipastikan beberapa orang guru beliau dan asal usul ilmu yang beliau peroleh. Mulai halaman kulit dua buah karyanya dan halaman-halaman lain beliau menyebut nama guru yang paling banyak mengajarnya ialah Tok Kelaba al-Fathani.

Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut menyebut nama Tok Kelaba secara lengkap, seperti tulis beliau, ‘Min Syaikhi Syaikhina Rahimahumallah Ta’ala dan dikehendaki dengan ‘Syaikhi’, iaitu Tuan Guru hamba yang alim, lagi warak, iaitu Tuan Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif bin Abdul Mu’min bin Abdus Shamad al-Kalantani tsumma al-Kalabawi tsumma as-Sauwi’.

Tok Kelaba

Memperkenalkan nama guru sendiri seperti ini juga pernah dilakukan oleh ulama-ulama lainnya, termasuk Tok Kelaba sendiri. Rasanya dapat dipastikan cara Tok Kelaba tersebutlah yang ditiru oleh Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut. Setelah memperkenalkan nama guru yang paling dikagumi itu beliau menyebut pula nama guru daripada gurunya dengan kata beliau, “Dan dikehendaki dengan ‘Syaikhi Sayikhina’, yakni guru bagi guru kami itu, iaitu al-Allamah al-Arif ar-Rabbani asy-Syaikh Abdul Qadir bin asy-Syaikh Mushthafa al-Fathani yang masyhur dengan ‘Tuan Bendang Daya’ yang wafat di Mekah al-Mukarramah.”

Pada perkataan ‘al-Fathani’ diberi tanda untuk nota kaki, yang selengkapnya. Kata beliau, “Qauluhu ‘al-Fathani’, yakni tempat segala guru-gurunya yang alim-alim dan tempat ia belajar padanya.” Kemudian Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut menterjemah tulisan Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah beliau tulis dalam Tashil Nail al-Amani iaitu kalimat yang sama yang pernah juga diterjemah oleh Tok Kelaba.

Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut menulis sanadnya pada jalur yang lain. Katanya, “Dan telah hamba dapat pula akan khat Tuan Guru hamba yang tersebut, dan ia daripada Syeikhnya Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, daripada Syeikhnya ad-Dimyathi.”

Pada kalimat yang lain, beliau tulis pula jalur ilmu daripada Tok Kelaba lalu disebut nama Syeikh Umar. Mungkin maksudnya Syeikh Umar al-Baqa’ie asy-Syami, iaitu seorang ulama besar termasuk salah seorang guru pada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Dalam koleksi saya hanya terdapat dua buah karya Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut yang saya peroleh daripada Ustaz Haji Abd. Rahman @ Ustaz Mat Atas Beris, Besut, salah seorang cucu beliau.

Karya yang pertama, Thariqah as-Salikin ila Ma'rifah Rabb al-'Alamin, diselesaikan pada 13 Rejab 1357 H/7 September 1938 M, cetakan pertama, United Press, Pulau Pinang, 1357 H/1938 M. Karya beliau yang kedua, Pungkal Umbi Agama, diselesaikan pada hari Rabu 15 Rejab 1366 H/4 Jun 1947 M, cetakan pertama, Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan, 1368 H/1949 M.

Yang dibicarakan dalam artikel ini hanyalah karya yang pertama saja sedangkan karya yang kedua tidak dibicarakan.

Kitab Thariqah as-Salikin disusun dengan merujuk beberapa buah kitab bahasa Arab dan kitab bahasa Melayu. Antara karangan ulama dunia Melayu yang dirujuk ialah Tibyan fi Ma'rifat al-Adyan (Melayu) karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Ad-Durr an-Nafis (Melayu) karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, Tijan ad-Darari (Arab) karya Syeikh Nawawi al-Bantani, Jumanah at-Tauhid (Arab) karya Syeikh Ahmad al-Fathani dan Tashil Nail al-Amani (Arab) juga karya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Selain itu Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut juga menyebut ada yang beliau peroleh daripada tulisan tangan Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya). Sangat disesali beliau tidak menyebut judul kitab Tok Bendang Daya itu.

Walaupun kandungan keseluruhan Thariqah as-Salikin adalah membicarakan akidah namun sangat banyak bahasannya menurut jalan pemikiran sufi. Beberapa istilah yang beliau sebut, antaranya ada yang tidak dibicarakan dalam kitab lain. Beberapa istilah yang dirasakan perlu dipindahkan ke dalam artikel ini, antaranya ialah:

1. ‘Salikin’ jamak perkataan ‘salik’ iaitu orang yang bersungguh-sungguh ijtihad melakukan ibadat kepada Allah dengan riadah, mujahadah, mengamalkan sekalian wirid yang diijazahkan oleh Syeikhnya dengan tiada cedera mengerjakannya dan tiada menyalahi apa-apa yang disuruh oleh gurunya daripada segala ibadat dan lainnya (hlm. 3). Takrif istilah ini dipetik daripada Ad-Durr an-Nafis.

2. Syeikh pengertian lughat ialah laki-laki yang telah berumur melebihi empat puluh tahun. Makna uruf ialah laki-laki yang sampai darjat dalam pengetahuan, jika ia kanak-kanak sekali pun (hlm 4). Takrif istilah ini dipetik daripada Hasyiyah al-Mathari 'ala Syarh as-Sittin.

3. Muraqabah, takrifnya ialah seseorang yang keluar daripada daya dan upayanya kerana mengintai bagi Haq, ia berpaling daripada sekalian yang lainnya, serta ia karam dalam laut musyahadah. Tiadalah dia memperoleh muraqabah itu, melainkan dengan melazimkan zikrullah (hlm. 6).

4. Mutaqaddimun, takrifnya ialah orang-orang yang hidup dahulu sebelum empat ratus tahun hijrah. Lawannya ialah ‘mutaakhkhirun’, takrifnya ialah orang-orang yang hidup kemudian sebelum empat ratus tahun hijrah (hlm. 18). Kedua-dua istilah ini Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut merujuk kepada tulisan Syeikh Abdullah asy-Syarqawi.

Perbandingan

Istilah ‘mutaqaddimun’ dan ‘mutaakhkhirun’ yang kedua-dua istilah ini banyak digunakan dalam fikh dapat kita bandingkan dengan dua istilah yang banyak digunakan dalam akidah ialah ‘salaf’ dan ‘khalaf’. Istilah ‘salaf’ ialah mereka yang hidup lebih dahulu daripada lima ratus tahun setelah hijrah. Pendapat lain menyebut dalam kurun yang ketiga hijrah. Istilah ‘khalaf’ pula ialah mereka yang hidup kemudian daripada lima ratus tahun daripada hijrah.

Pendapat lain menyebut bahawa mereka yang hidup sesudah kurun yang ketiga hijrah. Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut menyimpulkan bahawa ‘salaf’ ialah ‘para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. saja’, sedangkan ‘khalaf’ adalah dimulai dari zaman ‘tabi’in’ dan ‘tabi’it-tabi’in’.

Semua istilah itu beliau sebut pada bahagian tepi kitab. Ia menjadi nota atau sebagai keterangan perbicaraan kitab. Setelah memetik istilah pada nota, dirasakan perlu pula memetik beberapa istilah dalam kandungan kitab, di antaranya ialah:

1. Ahlil ma’arif, takrifnya orang yang bergantung hatinya kepada Allah, sekalian asma’-Nya, sekalian sifat-Nya, dengan sekalian yang diperintah oleh Allah terhadapnya dengan mujahadah, muraqabah, musyahadah, dan lainnya (hlm. 36).

2. Haqiqah atau haqiqat, takrifnya sampai kepada makam yang dikehendaki, iaitu musyahadah kepada nur at-tajalli, asrar al-Ilahiyi, musyahadah akan qada dan qadar yang zahir dan yang ghaib sekaliannya datang daripada Allah dan kembali kepada-Nya. Adalah musyahadah itu dengan nur al-ma’rifah yang datang atas hati pada ketika suci dan sunyi daripada kekeruhan aghyar (hlm. 37).

3. Thariqah atau thariqat, takrifnya natijah daripada syariat, seperti adalah haqiqat itu natijah daripada thariqat, itulah jalan untuk sampai kepada Allah yang dipraktikkan oleh ahli sufi dengan bersungguh-sungguh mengamalkan syariat dengan mengekalkan mujahadah, atau memerangi hawa nafsu dan syaitan selanjutnya mengekalkan riyadhah dan muraqabah yang diredai Allah.

Tentang akal manusia, Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut, memperkenalkan beberapa istilah iaitu nur al-iman, takrifnya cahaya iman, iaitu akal yang sabit bagi kebanyakan kaum Muslimin. Nur al-kasyaf, takrifnya cahaya yang dibangsakan kepada kasyaf. Maksudnya ialah ia dapat memandang perkara-perkara ghaib yang tiada dapat dipandang dengan mata kepala.

Nur al-ma’arif ar-Rabbaniyah, takrifnya ialah akal yang sabit pada para Wali Allah. Nur an-Nubuwah, takrifnya ialah cahaya kenabian. Makna pada istilah ialah akal yang paling tinggi darjatnya, iaitu akal Nabi Muhammad s.a.w.dan Anbiya’ (para Nabi) selain beliau.

Dalam mukadimah artikel ini disebut bahawa dalam perkembangan sejarah ulama, ramai keturunan mereka yang berhasil jadi ulama, tokoh ataupun pemimpin. Ulama yang beramal dengan akhlak al-karimah (mulia) adalah pewaris Anbiya’. Nama mereka harum, wangi sepanjang zaman.

Nama mereka akan lebih harum lagi sekiranya keturunan mereka yang menjadi pemimpin sesudahnya mengamalkan akhlak al-karimah pula.

Sebaliknya menjadi busuklah nama ulama yang harum sekiranya generasi keturunannya yang terkemuka berakhlak yang dicela oleh masyarakat zamannya, apatah lagi sekiranya mereka melanggar perintah-perintah Allah s.a.w..

Syeikh Muhammad Salleh putera penerus warisan Tok Kenali  

Posted by mfrstudio

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SATU ucapan yang berupa wasiat ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, untuk saya: “Setelah kamu merantau di bahagian Barat Indonesia, mestilah terima ilmu daripada berbagai-bagai orang, sesudah itu tutuplah di Kota Bharu, Kelantan. Di sana cari keturunan Tok Wan Ali Kutan, Tok Kenali dan Nik Mahmud. Tok Wan Ali Kutan adalah ayah saudara ayahku. Tok Kenali dan Nik Mahmud adalah murid ayahku. Keturunan mereka ada yang menjadi ulama, ada yang kaya dan menjadi pembesar. Hendaklah ingat yang golongan ulama mudah kamu gauli tetapi orang kaya dan pembesar sukar kamu dekati kecuali setelah kamu banyak pengalaman. Adab bergaul dengan ulama adalah berbeza dengan adab bergaul dengan orang kaya dan pembesar.”

Pada tahun 1970, saya sampai ke Kota Bharu. Tanpa disedari wang yang tinggal hanya RM1.20. Baju sehelai, celana sehelai dan kain sehelai bukanlah menjadi penghalang untuk saya menyambung silaturahim, mencari ilmu dan menjalankan penyelidikan. Saya utamakan menziarahi makam Tok Kenali, berjalan seorang diri dari Kota Bharu ke Kampung Kenali. Ketika membaca doa di makam Tok Kenali, terlintas di hati, “Ya Allah, sekiranya betul Tok Kenali adalah murid datukku Syeikh Ahmad al-Fathani, dan kedua-dua ulama yang engkau redai, berilah pertolongan kepadaku menjalankan tugas mengumpul dan memperkenalkan ulama di dunia Melayu ini, mulai sekarang dan sepanjang hayatku.”

Selepas ke makam Tok Kenali saya terus mencari rumah Abdullah Al-Qari, penyusun buku Sejarah Hidup Tok Kenali. Beliaulah yang memperkenalkan saya kepada Tuan Guru Haji Ahmad (anak sulung Tok Kenali). Beliau meminta saya menyampaikan ceramah di surau Kampung Kenali, tetapi saya minta tangguh dua malam berikutnya. Ceramah itu merupakan ceramah saya yang pertama di Kota Bharu, Kelantan.

Pada 1979 di Mekah al-Mukarramah, saya menziarah pula anak Tok Kenali yang bernama Syeikh Muhammad Salleh. Di Dar al-Ishlah tempat Syeikh Muhammad Salleh menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan dan dakwah, beliau telah mempersilakan saya memberi ceramah. Tamat ceramah, beliau memperkenalkan saya kepada jemaah di Dar al-Ishlah itu, sekali gus beliau meminta kepada jemaah supaya ketika wukuf di Arafah pada tahun 1979 mereka mendoakan khusus untuk saya agar berjaya dalam kerja-kerja penyelidikan dan mendokumentasi seluruh aspek sejarah ulama dunia Melayu.

Saya berkeyakinan bahawa doa jemaah di Dar al-Ishlah pada malam ceramah dan di Arafah tahun itu yang disarankan oleh Syeikh Muhammad Salleh, anak Tok Kenali itu dikabulkan Allah. Barangkali salah satu kesan kabulnya dapat dibuktikan dengan ruangan riwayat ulama berhasil diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia yang anda ikuti sekarang.

Syeikh Muhammad Salleh Tok Kenali adalah ulama yang ke-106 dalam siri terbitan ini. Beliau lahir di Kampung Kenali, Kelantan tahun 1329 H/1911 M dan wafat di Mekah pada subuh Jumaat 22 Ramadan 1404 H/22 Jun 1984 M.

Sebagaimana abangnya yang sulung, Tuan Guru Haji Ahmad, demikian halnya Syeikh Muhammad Salleh, kedua-duanya mendapat pendidikan dan berkat ilmu daripada ayahnya, Tok Kenali, di Kelantan.

Syeikh Muhammad Salleh melanjutkan pelajaran di Mekah selama lebih 20 tahun. Beliau belajar dengan ramai ulama sama ada ulama-ulama bangsa Arab mahupun ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu.

Menurut riwayat, sebelum berhijrah ke Mekah, beliau telah menguasai banyak bidang ilmu baik ilmu yang diperoleh daripada ayahnya, Tok Kenali, mahupun daripada ulama-ulama Kelantan selain ayahnya.

Syeikh Muhammad Salleh adalah termasuk salah seorang yang rajin belajar, rajin mencatat sesuatu pelajaran malah apa yang dicatatkannya segera dihafal. Yang dihafal pula segera disebarkan.

Dalam penyebaran ilmu, Syeikh Muhammad Salleh tercatat pernah mengajar di Masjid al-Haram, Mekah. Beliau juga mengajar di Dar al-Ishlah, sebuah institusi pendidikan yang beliau asaskan di Mekah. Selain itu, Syeikh Muhammad Salleh Tok Kenali juga rajin mengembara ke seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura kerana menyebar ilmu-ilmu Islam. Beliau mempunyai hubungan silaturahim dengan bekas murid-murid ayahnya.

Penulisan

Syeikh Muhammad Salleh Tok Kenali adalah salah seorang ulama Kelantan yang aktif dalam penulisan. Hasil karya beliau berupa risalah yang sangat banyak jumlahnya. Yang disenaraikan di bawah ini adalah sebahagian kecil, antaranya:

1. At-Thariqatul Ishlahiyah liman Aradad Dun-ya wal Akhirah, diselesaikan di Darul Ishlah, Mekah, pagi hari tarikh 23 Syaaban 1361 H. Dicetak oleh Wah Shong Press, Alor Star (tanpa tarikh). Kandungannya membicarakan wirid pagi dan petang, doa selepas sembahyang, dalam perjalanan, pada hari-hari dan bulan-bulan yang tertentu. Di dalamnya juga disebut doa yang biasa diamalkan oleh Tok Kenali serta satu perisai diri yang diterima daripada Kiyai Shalih al-Juhuri yang sangat terkenal. Menerima pujian daripada Abdul Hadi Kamil Shalih, Batu Kurau, Perak.

2. An-Najmut Thali’ fi Qira-atin Nafi’, diselesaikan pada bulan Syawal 1361 H. Dicetak oleh Mathba’ah al-Hikmah, Kota Bharu, Kelantan. Kandungannya membicarakan ilmu membaca al-Quran/tajwid dan beberapa jenis amalan. Merupakan petikan daripada kitab Fathul Mu’thi, tazkirah dan lainnya. Pada pendahuluan buku ini penterjemah mencatatkan nama guru-gurunya yang beliau belajar ilmu yang tersebut dalam kitab ini. Mereka ialah al-Hafiz Syeikh Nuh, yang wafat pada 20 Rejab 1367 H, Syeikh Ahmad Hijazi, Syeikh Ibrahim Khazami, Syeikh Muhammad Nur Abul Khair, Syeikh Saiyid Muhammad Amin Kutubi, semuanya di Mekah al-Mukarramah, dan Syeikh Hasan asy-Syair di Madinatul Munawwarah, dan lain-lain. Pada halaman 91 dicatatkan nama-nama risalah karya beliau iaitu Al-Hikmah Hajji, At-Thariqatul Ishlah, Kitabus Shiyam, Risalatain Pada Bacaan 'Ashim, Risalah Keselamatan Kaum Ibu, Tarikh Darul Ishlah, Kandung Kemerdekaan, Tazkiratul Ghafilin dan Risalah Bagi Khulashah Faraid.

3. Tazkiratul Ghafilin mim man lahu 'Umril Arba’in, diselesaikan dalam Masjid al-Haram, Mekah, pagi Rabu, 16 Zulkaedah 1369 H. Ditulis kembali pada 29 Rabiulakhir 1370 H. Dicetak oleh Tu Ah Sung Press tanpa tarikh dan nama tempat. Kandungannya membicarakan tafsir beberapa surah dan ayat al-Quran dan syarah beberapa hadis terutama ditujukan kepada orang-orang yang sampai umur 40 tahun. Selain itu ia juga memberi peringatan kepada golongan remaja supaya mempersiapkan diri sebelum dewasa.

4. Al-Mashabih, diselesaikan pada 1 Muharam 1371 H. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura. Kandungannya terdiri daripada beberapa risalah iaitu Syarahan daripada Dar al-Ishlah memberi keterangan sekalian peringkat manusia. Jagaan daripada tablis iblis terjemahan kitab yang sudah berusia 800 tahun. Hadis Nabi daripada Syamail bagi Tirmizi. Beberapa keterangan yang penting untuk orang-orang yang pergi ke Mekah dan keterangan rahsia sekalian Asma’.

5. Risalah ar Rafiqil Watsiq li Rabbil Qarib. Dikombinasikan cetakan karya oleh penulis yang sama, yang berjudul Al-Malja’ min Asyaddil Bala’, diselesaikan pada 28 Muharam 1376 H. Dicetak oleh The United Press, Penang, Maktabah wa Mathba’ah Al-Haji Abdullah Bin Muhammad Nuruddin Ar-Rawa. Kandungannya memperkenalkan terutama 25 amalan hikmah yang berfaedah untuk keselamatan dunia dan akhirat. Dimulai dengan kalimah empat amalan yang penulisnya terima daripada Kiyai Haji Salleh Penghulu Johor. Sesudahnya amalan tahan peluru yang penulisnya terima daripada Haji Muhammad Thaiyib Penghulu Pahang dan lain-lain.

6. Risalah Mekah wal Madinah, diselesaikan pada 10 Zulhijjah 1377 H, ditulis kali kedua pada 20 Zulhijjah 1377 H. Dicetak oleh Mathba’ah The United Press, Pulau Pinang. Kandungannya membicarakan asal Mekah dan Madinah, kelebihan-kelebihan kedua-duanya, nama-nama, tempat-tempat yang terkenal dan lain-lain termasuk Arafah, Mina, Mudzalifah dan lain-lain. Pada pendahuluan terdapat kata-kata aluan Dr. Burhanuddin al-Helmi, tarikh Tanah Melayu, pada 9 Ramadan 1379 H. Dicetak pada bahagian akhir Risalah Perkataan Merdeka. Selesai penulisan pada 28 Muharam 1378 H di Mekah al-Mukarramah.

7. Islam dan Rahsia. Kombinasi cetakan dengan karya Risalah Roh Islam oleh penulis yang sama, diselesaikan pada 27 Ramadan 1379 H. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Hikmah, Kelantan. Kandungannya memberi penjelasan tentang Islam daripada pelbagai aspek seperti sejarah penyebarannya, mundur maju dalam menghadapi pelbagai masalah dan termasuk pemikiran tentangnya. Pada bahagian akhir terdapat berbagai-bagai amalan yang baik dan doa yang makbul dan kaifiat beramal dengannya. Risalah ini diberi Kata Pengantar oleh Haji Encik Ahmad Ismail al-Hikmah (Dato’ Lela Negara Kelantan) pada tarikh Mekah al-Mukarramah, 1 Zulhijjah 1379 M.

8. Risalah Pembinaan Ruhani dan Kebendaan, diselesaikan tanpa dinyatakan tarikh, tetapi pada Kata Pengantar Ustaz Haji Abdur Razaq bin Yusuf, Kuala Terengganu dinyatakan tahun 1393 H/1973 M beliau mendapat keizinan untuk menerbitkan risalah tersebut. Dicetak oleh Percetakan Al-Ahliah, 5509 Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan. Kandungan dimulai dengan Kata Pengantar oleh Ustaz Haji Abdur Razaq bin Yusuf, Kuala Terengganu. Ia memperkenalkan kebaikan-kebaikan Tuan Guru Syeikh Salleh Kenali yang diketahuinya. Kandungan ringkas keseluruhan memberi gambaran keindahan Mekah dan Madinah sejak pemerintahan Raja Abdul Aziz sehingga Raja Faisal. Pada bahagian akhir diiringi dengan bacaan-bacaan di Arafah.

9. Risalah Anwaril Mashabih, diselesaikan pada 17 Jamadilakhir 1399 H. Dicetak oleh Al-Ahliah Sendirian Berhad, Kota Bharu, Kelantan. Kandungannya memperkukuh tiga ilmu iaitu tauhid, fikh, tasawuf dan seterusnya dimulai dengan rangkap syair:

Hadiah kepada para jemaah haji daripada saya, Salleh Kenali:

Cap dengan derma wang diberi,

oleh Dewan Tok Kenali,

Sangat-sangat wajib diamali,

oleh pemuda dan pemudi,

Fahamkan sebelum datangnya mati,

supaya dapat syurga dikehendaki.

Tok Syeikh Duyung syeikhul ulama Terengganu  

Posted by mfrstudio

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SEORANG keluarga Tok Syeikh Duyung ditemu bual di Bukit Bayas, Terengganu. Wan Mohd. Shaghir Abdullah duduk di kanan.

PADA tarikh 13 Februari 2006 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Terengganu telah berlangsung Seminar Kebangsaan Kefahaman Tasawuf Nusantara. Majlis itu dihadiri 1,500 orang. Pada keesokan harinya di dewan yang sama berlangsung pula Peringatan 101 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani yang diberi judul ‘Ulama Bermesra Sultan dan Rakyat (Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Sultan Zainal Abidin III)’.

Peringatan ini adalah atas kerjasama pihak KUSZA dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (PENGKAJI). Saya telah diberi kesempatan memberi ceramah di beberapa tempat di Terengganu yang diatur oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Saya dan PENGKAJI terhutang budi atas kerjasama pihak KUSZA dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Kami mengucapkan jutaan terima kasih. Selama seminggu di Terengganu saya berkesempatan menziarahi beberapa makam ulama yang bersejarah di Terengganu dan mewawancara beberapa orang.

Wawancara itu bukanlah yang pertama kali di Terengganu, tetapi adalah lanjutan wawancara yang pernah dijalankan tahun 1976. Ulama Terengganu tidak dapat dipisahkan dengan ulama Patani, termasuk yang diriwayatkan ini, yang digelar orang ‘Tok Syeikh Duyung’.

Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin bin Ya’qub al-Fathani. Lahir di Cabang Tiga, Patani, tahun 1216 H/1802 M, Allahyarham wafat pada hari Khamis, pukul 4.00 petang, 12 Jamadilakhir 1306 H/24 Februari 1889 M.

Saya terkenang kembali hasil wawancara saya di Terengganu pada tahun 1976, terutama dengan Datuk Sansura Pahlawan, tentang nama ‘Duyung’. Ia mengingatkan saya bahawa Pulau Duyung Kecil menjadi tempat keluarga besar ulama Patani berhijrah akibat perang dengan Siam. Di antara yang berhijrah ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang banyak menulis kitab yang sangat terkenal itu. Yang digelar ‘Tok Syeikh Duyung’ yang lebih awal ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang kemudian lebih dikenali dengan panggilan ‘Tok Syeikh Bukit Bayas’.

Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin digelar ‘Tok Syeikh Duyung’ kemungkinan kemudian daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani. Ketiga-tiga ulama yang saya sebutkan iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas dan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin Duyung adalah masih dalam satu lingkungan keluarga yang dekat.

Nama ayahnya ialah Syeikh Wan Muhammad Amin al-Fathani yang digelar dengan ‘Tok Syeikh Qadhi al-Fathani’. Beliau pula ialah anak Wan Ya’qub al-Fathani. Hanya sampai kepada Wan Ya’qub saja nasab dari sebelah ayahnya dapat dikesan. Ibu Tok Syeikh Qadhi (Syeikh Wan Muhammad Amin) bernama Wan Salamah binti Tok Wan Deraud bin Cik Wan Derahim yang kahwin dengan Tok Wan Nik. Ibu Tok Wan Nik ini bernama Wan Dewi binti Tok Kaya Rakna Diraja bin Syeikh Faqih Ali al-Malabari.

Ibu Tok Syeikh Duyung (Syeikh Wan Abdullah) bernama Wan Aminah binti Tok Wan Drahmad bin Tok Wan Derahman bin Tok Kaya Pandak. Tok Kaya Pandak ini nama sebenarnya ialah Wan Ismail bin Nakhoda Wan Kang daripada perkahwinan dengan puteri Laksamana Johor.

Nakhoda Wan Kang yang dimaksudkan di sini adalah nama gelar pada Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ada riwayat menyebut bahawa beliau ini adalah seorang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. yang berhijrah ke Malabar (India) dan selanjutnya berhijrah ke dunia Melayu.

Berkahwin

Riwayat yang lain menyebut bahawa beliau berasal dari negeri Bugis. Syeikh Faqih Ali al-Malabari atau Nik Ali atau Saiyid Ali pertama sampai di Johor telah berkahwin dengan puteri Johor bernama Wan Tijah. Mastautin atau tempat tinggal terakhir Syeikh Faqih Ali al-Malabari ialah di Patani.

Keturunan beliau selain menjadi ulama seumpama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Tok Syeikh Bukit Bayas dan lain-lain, termasuk juga tokoh-tokoh kerajaan seumpama Long Yunus Kelantan.

Tok Syeikh Qadhi al-Fathani (Syeikh Wan Muhammad Amin) adalah seorang ulama yang seangkatan dan sahabat dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) ketiga-tiganya adalah ulama besar. Oleh itu Wan Abdullah mendapat pendidikan daripada Tok Syeikh Qadhi al-Fathani, iaitu ayahnya sendiri yang ketika itu tinggal di Kampung Paya Bunga.

Pada masa yang sama Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin bersahabat dengan Saiyid Muhammad Zainal Abidin (Tukku Tuan Besar) dan selanjutnya belajar dengan Syeikh Wan Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang pada ketika itu tinggal di Bukit Bayas.

Tok Syeikh Qadhi al-Fathani dan Tok Syeikh Bukit Bayas kedua-duanya mendapat kedudukan yang tinggi pada zaman pemerintahan Sultan Omar Terengganu, bahkan kedua-duanya termasuk guru baginda.

Selanjutnya pelajaran dilanjutkan di Mekah kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam masa yang sama sekurang-kurangnya ada tiga orang yang berasal dari Terengganu yang belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang sangat terkenal itu.

Ketiga-tiga mereka kemudian menjadi ulama besar yang terkenal. Mereka ialah Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin, Saiyid Muhammad Zainal Abidin dan Syeikh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu.

Ulama nama yang terakhir ini diriwayatkan berasal dari Kemaman, Terengganu. Beliau merupakan tokoh besar yang menulis salinan karya-karya ulama dunia Melayu. Jumlah manuskrip salinannya seimbang dengan salinan Tok Kelaba yang datang kemudian daripada beliau. Hingga kini belum dijumpai ulama dunia Melayu yang menyalin manuskrip Melayu lebih banyak daripada kedua-duanya.

Setelah pulang dari Mekah pada tahun 1263 H/1846 M, Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin mengambil tempat kedudukan dan pusat aktivitinya di Pulau Duyung Kecil Terengganu. Selain mengajar di Pulau Duyung Kecil, beliau juga mengajar di beberapa tempat di antaranya Paloh, Losong dan Bukit Bayas.

Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyung) seperti ulama-ulama Patani lain tetap mengajar dua jenis kitab, iaitu yang berbahasa Melayu dan berbahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Melayu yang diajarkan diutamakan karangan gurunya, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kitab-kitab bahasa Arab yang diajarkan adalah karangan ulama-ulama yang terkenal dalam pelbagai disiplin ilmu. Yang paling diutamakan dalam tasawuf ialah Ihya’ ‘Ulumid Din oleh Imam al-Ghazali

Murid Tok Syeikh Duyung sangat ramai, termasuk yang datang dari luar Terengganu. Ada yang datang dari Patani, seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Brunei, Kalimantan dan lain-lain.

Di antara murid Tok Syeikh Duyung yang menjadi ulama besar lagi terkenal ialah Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, Tukku Paloh dan Haji Wan Muhammad (anak beliau sendiri) yang pernah menjadi Mufti Terengganu setelah Tok Syeikh Duyung wafat. Di kalangan Sultan Terengganu yang pernah menjadi murid Tok Syeikh Duyung ialah Sultan Omar dan Sultan Zainal Abidin III.

Baginda Sultan Omar telah melantik Syeikh Muhammad Amin al-Fathani (Tok Syeikh Qadhi) menjadi seorang pembesar negeri. Pada masa pemerintahan Sultan Terengganu itu anak Tok Syeikh Qadhi yang bernama Haji Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) telah dilantik menjadi kadi, sekali gus menjadi penasihat kepada Baginda Sultan Omar.

Pada waktu yang sama gurunya Tok Syeikh Bukit Bayas menjadi mufti. Selanjutnya setelah gurunya itu wafat, Tok Syeikh Duyung dilantik menjadi Mufti Terengganu mulai tahun 1269 H/1853 M hingga beliau wafat pada tahun 1306 H/1889 M.

Sewaktu berlaku Pemberontakan Besut pada 1874, Sultan Omar telah menugaskan Tok Syeikh Duyung ke Kelantan dengan tujuan supaya Sultan Kelantan menghentikan bantuan kepada pemberontakan itu.

Tok Syeikh Duyung bersama-sama anak beliau Haji Wan Muhammad Wan Abdul Qadir dan angkatan kebesaran yang membawa perutusan berangkat ke Kelantan dengan menaiki gajah. Menurut riwayat, perundingan antara Tok Syeikh Duyung dengan Sultan Kelantan mendatangkan hasil yang memuaskan.

Daripada riwayat itu, dapat disimpulkan bagaimana bijaknya seorang ulama menangani sesuatu isu yang besar sehingga seseorang sultan dapat menerima buah fikirannya seterusnya peperangan terhenti dan perdamaian diperoleh.

Riwayat itu pula adalah bukti iaitu Sultan Terengganu mahupun Sultan Kelantan ketika itu terpaksa akur dan patuh atas besarnya kewibawaan seorang ulama yang bergelar Tok Syeikh Duyung. Riwayat ini pula adalah sebagai bukti karamah Tok Syeikh Duyung. Menurut cerita, sesiapa sahaja yang berjumpa dengan beliau, sama ada disengaja ataupun tidak, akan terpahat pada hati memandang beliau sebagai seorang yang sangat hebat.

Tok Syeikh Duyung selain berwibawa dan dihormati oleh Sultan Omar (Sultan Terengganu) dan Sultan Kelantan, beliau sangat berkesan pada hati seorang muridnya yang menjadi Sultan Terengganu berikutnya, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Tok Syeikh Duyung pula sangat kasih kepada muridnya itu sama ada sebelum menjadi sultan mahupun sesudahnya.

Tambatan kasih sayang daripada guru kepada murid atau sebaliknya daripada murid kepada guru dalam istilah tasawuf dinamakan dengan ‘rabithah’. Rabithah yang dimaksudkan telah berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. terhadap para sahabatnya dan sebaliknya.

Sembahyang hajat

Maksud perkataan Saidina Abu Bakar as-Siddiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w.: “Aku kasih dalam dunia tiga perkara, duduk bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w., membelanjakan hartaku untuk Nabi Muhammad s.a.w. dan mengucapkan selawat atas Nabi Muhammad s.a.w.”

Oleh itu sewaktu pertabalan Sultan Zainal Abidin III menjadi Sultan Terengganu pada 18 Disember 1881, Tok Syeikh Duyung telah melakukan sembahyang hajat dengan doa yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan Sultan Zainal Abidin III, semua rakyat dan kerajaan yang di bawah pemerintahan baginda.

Sesuatu pemerintahan Islam akan selamat apabila penguasa tertingginya dapat bekerjasama dengan ulama. Ulama yang membawa selamat dan berkat ialah ulama yang dapat memberi nasihat kepada pemerintah, berani berkata benar walaupun terhadap penguasa yang zalim.

Sesuatu pemerintahan Islam dan rakyat akan binasa apabila para ulamanya tidak berani memberi nasihat yang benar kepada pemerintah. Sesuatu pemerintahan Islam akan lebih binasa apabila pemerintahnya memusuhi ulama yang berani berkata benar seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Pehin Datu Imam Haji Mokti imam terkenal Brunei  

Posted by mfrstudio

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

GAJAH mati meninggalkan gading, manusia bijak mati mengukir nama dalam suratan sejarah. Sejuta murid yang tidak dapat meneruskan perjuangan seorang guru adalah kurang bermanfaat. Cukup seorang murid, sekiranya ilmu dapat disebarkan dan sambung bersambung daripadanya kepada generasi berikutnya.

Dalam sejarah ramai ulama yang dapat memenuhi kategori dalam kalimat selayang pandang di atas, termasuk Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif, ulama Banjar di Brunei Darussalam yang telah diperkenalkan dalam halaman agama Utusan Malaysia Isnin lalu.

Pada terbitan hari ini diperkenalkan pula murid beliau, anak jati Brunei, yang nama lengkapnya Pehin Datu Imam Haji Mokti bin Nasar. Beliau dilahirkan di Kampung Burung Pingai Ayer pada tahun 1281 H/1864 M. Wafat tahun 1365 H/1946 M. Memperhatikan tahun kelahiran ini, bererti Imam Haji Mokti tahun kelahirannya sama dengan Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak yang juga lahir tahun 1281 H/1864 M.

Jika kita bandingkan dengan ulama dunia Melayu lainnya, bererti Imam Haji Mokti lebih muda sedikit daripada Tuan Husein Kedah yang lahir pada tahun 1280 H/1863 M dan Syeikh Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali Kudus, yang lahir pada tahun 1280 H/ 1863 M.

Daripada perbandingan tahun kelahiran para ulama dunia Melayu yang mendapat pendidikan di Mekah di atas, dengan pasti kita dapat menjejaki para guru Imam Haji Mokti di Mekah, iaitu guru beliau selain Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar seperti yang telah disebut di atas.

Dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas susunan Simat bin Angas, Suhaili bin Haji Hassan dan Ismail bin Haji Ibrahim dari Unit Penyelidikan, Bahagian Sejarah/Epigrafi Jabatan Muzium Brunei, Bil. 23, tahun 1992, hlm. 38, tercatat, “Selain daripada itu Pehin Datu Imam Haji Mokti juga pernah berguru dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas, seorang ulama dan tokoh agama yang terkenal dari Indonesia. Pehin itu belajar Tarekat Qadiriyah daripadanya....”

Walaupun dalam kalimat ini tidak dinyatakan di mana Imam Haji Mokti bertemu dan belajar daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, namun dapat dipastikan ia adalah di Mekah kerana Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak pernah pulang ke Sambas. Juga beliau tidak pernah berkunjung ke tempat-tempat lain di Indonesia ataupun tempat-tempat lain di dunia Melayu.

Cerita Imam Haji Mokti dikatakan ‘pernah berguru dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas’ dan ‘belajar Tarekat Qadiriyah daripadanya’ perlu dikaji kembali kerana dalam beberapa riwayat ulama yang seangkatan dengan Imam Haji Mokti tidak berkesempatan belajar secara langsung dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas.

Mereka hanya belajar melalui ‘Khalifah Syeikh Ahmad Khathib Sambas’. Sebagai contoh Imam Haji Mokti belajar dengan Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar. Ulama yang berasal dari Banjar ini termasuk salah seorang ‘Khalifah Syeikh Ahmad Khathib Sambas’.

Dalam buku saya yang berjudul Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu‘tabarah di Dunia Melayu, telah saya sebut beberapa orang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Daripada sekian ramai murid beliau ada yang menjadi ‘Mursyid’ dan dilantik menjadi ‘Khalifah Qadiriyah-Naqsyabandiyah’. Sebagai contoh, ulama yang berasal dari Sarawak bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak. Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak pernah merantau ke Pontianak, Banjar, Brunei, bahkan di seluruh Borneo/Kalimantan. Oleh sebab kedua-dua Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar dan Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak adalah murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, bererti kedua-duanya adalah bersahabat. Imam Haji Mokti Brunei berkali-kali datang ke Pontianak dan pernah dibaiah dan ditawajjuh oleh Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak.

Selain itu, Imam Haji Mokti Brunei juga ada hubungan dengan beberapa murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berada di Sambas, yang juga dikategorikan sebagai ‘Mursyid’. Mereka ialah Syeikh Nuruddin Tekarang, Syeikh Muhammad Sa’ad dan lain-lain. Syeikh Nuruddin Tekarang berasal dari selatan Filipina. Setelah belajar di Mekah, dia pulang ke Sambas dan meninggal pada tahun 1312 H/1894 M. Kuburnya terletak di Kampung Tekarang, Kecamatan Tebas, Kabupaten Sambas.

Saya telah tiga kali menziarahi makam ulama tersebut, selain mencatat data-data sejarah sekali gus memenuhi disiplin ilmu tarekat sufiyah bahawa seseorang ‘Syeikh Mursyid’ sangat penting diziarahi sama ada ketika masih hidup mahupun setelah mereka meninggal dunia. Syeikh Nuruddin Tekarang termasuk juga salah seorang guru Imam Haji Mokti Brunei.

Menurut riwayat, ulama jati Brunei itu berkali-kali menziarahi Syeikh Nuruddin Tekarang ketika beliau masih hidup dan juga menziarahi makamnya setelah ulama berasal dari selatan Filipina itu meninggal dunia.

Diriwayatkan pula bahawa Imam Haji Mokti Brunei adalah murid Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani, ulama ini termasuk ulama Borneo/Kalimantan yang banyak menghasilkan karangan. Ulama ini adalah murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Daripada maklumat ini dapat diambil kesimpulan bahawa Imam Haji Mokti Brunei ada hubungan keilmuan atau sanad kepada ulama-ulama yang berasal dari Patani.

Selama lebih kurang empat tahun tinggal di Mekah, diriwayatkan pula bahawa Imam Haji Mokti Brunei juga pernah belajar dengan Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani, pengarang Mathla’ al-Badrain, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Wan ‘Ali bin ‘Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, pengarang al-Jauhar al-Mauhub, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau, dan lain-lain termasuk juga ulama bangsa Arab.

Setelah pulang daripada perantauan Imam Haji Mokti Brunei mula aktif menyebarkan agama Islam. Sebagaimana ulama tradisional lainnya pelajaran yang ditekankan ialah tajwid al-Quran, akidah atau tauhid, fiqh Mazhab Syafie dan tasawuf. Tentang tarekat shufiyah, Imam Haji Mokti Brunei sempat membai’ah dan mentawajjuhkan Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah kepada beberapa orang muridnya, di antaranya ialah Haji Muhammad bin Haji Minuddin.

Murid Imam Haji Mokti Brunei memang ramai. Dalam beberapa disiplin ilmu yang disebut, beberapa orang pembesar Brunei, bahkan Sultan Brunei juga sempat belajar dengan beliau. Antaranya Sultan Muhammad Jamalul Alam, Sultan Haji Omar Ali III, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Awang Haji Umar bin Randah dan lain-lain.

Disebut dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas bahawa Imam Haji Mokti Brunei selain mengajar dan berdakwah di Kampung Burung Pingai juga berdakwah di kampung-kampung pedalaman seperti Kampung Pudak, Pulau Berbunut dan Labu Estate di Daerah Temburong. Beliau juga mengajar dan berdakwah hingga ke Padas di Sabah.

Dalam buku yang sama juga disebutkan bahawa Imam Haji Mokti Brunei pernah merantau ke Marudi dan Baram di Sarawak dan Sambas, Kalimantan Barat. Apabila disebutkan Baram, saya teringat barangkali di sana pernah ada beberapa orang ulama kerana pada zaman yang sama dengan Imam Haji Mokti Brunei pernah ditulis sebuah kitab berjudul Hidayah li al-Walad al-Walad. Pengarangnya bernama Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus. Beliau menyebut bahawa kitab tersebut diselesaikan pada 15 Rabiulawal, hari Sabtu, 1343 H di negeri Baram.

Kekerapan Imam Haji Mokti Brunei berkunjung ke Baram di Sarawak itu dipercayai ada hubungan antara beliau dengan Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus Baram, tetapi masih belum dapat dipastikan siapakah yang menjadi guru ataupun menjadi murid ataupun kedua-duanya hanya bersahabat.

Dengan maklumat ini, sama ada untuk menyelidiki sejarah Imam Haji Mokti Brunei mahupun Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus Baram, seseorang diperlukan turun ke lokasi iaitu Baram di Sarawak.

Selain mengajar, Imam Haji Mokti Brunei dipercayai juga menghasilkan karya bertulis. Dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas dicatatkan ada empat naskhah tulisan tangan iaitu:

1. Doa-doa dan fatwa-fatwa amalan serta faedah ubat-ubatan. Khusus pada perkataan ‘faedah ubat-ubatan’, dari sini dapat kita ketahui bahawa Imam Haji Mokti Brunei juga adalah seorang peminat bidang itu. Mengenai ini perlu penyelidikan lebih lanjut, kepada siapakah beliau belajar ilmu perubatan itu? Sekiranya beliau belajar ilmu perubatan di Mekah daripada ulama Melayu, jelas pada zaman itu hanya Syeikh Ahmad al-Fathani seorang saja mengajar ilmu tersebut. Tidak ramai murid Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bidang ilmu perubatan jika kita bandingkan dengan ilmu-ilmu lainnya.

2. Salasilah Tarekat Qadiriyah yang dimulai dari beliau naik kepada Datuk Haji Ahmad bin Abdul Lathif Banjar, naik kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan seterusnya sama dengan yang termaktub dalam Fat-h al-'Arifin yang telah berulang-ulang kali diterbitkan.

3. Catatan kejadian wabak cacar di Brunei Darussalam pada tahun 1290 H dan tahun 1322 H.

4. Riwayat dan nasihat Luqman al-Hakim berserta ulasan beliau.

Dalam artikel ini saya sebutkan tentang ziarah ke makam. Oleh sebab dalam perkembangan mutakhir tentang Islam di dunia Melayu ada golongan yang membidaah dan mengkhurafatkannya, maka dirasa perlu saya memberi sedikit ulasan dan pandangan. Saya mengakui dalam konteks ziarah makam atau kubur ada yang mengikut syarak dan ada pula terkeluar daripada ajaran Islam. Ini adalah berdasarkan pengetahuan seseorang yang melaksanakan ziarah itu.

Ziarah ke makam atau kubur yang betul menurut syarak sekurang-kurangnya ada dua disiplin. Disiplin secara umum ialah dengan mengucapkan salam dan membaca surah al-Ikhlas 11 kali, atau lainnya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.. Disiplin khusus yang dilakukan oleh golongan ahli sufi, ziarah makam atau kubur golongan ini mempunyai adab-adab yang tersendiri.

Upacara ziarah makam atau kubur kenegaraan yang dilakukan oleh kebanyakan negara di dunia sekarang ini, termasuk negara-negara yang dipimpin oleh orang-orang Islam, didominasi oleh adab-adab yang bukan daripada ajaran syariat Islam.

Sebagai contoh, menghadap ke makam atau kubur dengan berdiri, menghentakkan kaki kemudian hormat kepada makam atau kubur dengan mengangkat tangan kanan dan lain-lain.

Yang saya sebutkan di atas adalah sebagai contoh saja. Walau bagaimanapun saya berpandangan dan berpendirian bahawa disiplin apa pun juga yang kita jalankan perlulah kembali kepada yang dibenarkan oleh syariat Islam.

Sesuatu perlaksanaan duniawi yang bertentangan dengan syariat Islam adalah wajib ditinggalkan. Apa jua bentuk kedurjanaan terhadap Allah dan Rasul-Nya marilah kita cuba mengurangkannya, dan selanjutnya berusaha menghapuskannya sama sekali.